POLITIK

PN BELUM MILIKI MEKANISME KUKUH TANGANI KONFLIK DALAMAN - PENGANALISIS

01/02/2026 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Kepincangan dalaman Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan drama politik, termasuk pertemuan berasingan antara pemimpin serta percanggahan kenyataan berhubung jawatan pengerusi gabungan itu, dilihat berpotensi menggoyahkan kekuatan blok pembangkang.

Menurut pemerhati politik, selain percanggahan kenyataan antara pemimpin parti dalam PN, ketidakhadiran wakil PAS sebagai parti komponen terbesar gabungan itu dalam mesyuarat bersama dengan ketua-ketua parti pada Khamis lepas turut disifatkan sebagai isyarat simbolik terhadap kewujudan konflik dalaman.

Felo Penyelidik Ilham Centre Mujibu Abd Muis berpandangan pola ketegangan berulang dalam PN yang dizahirkan secara terbuka serta gagal diharmonikan menunjukkan wujudnya masalah penyelarasan strategik pada peringkat kepimpinan tertinggi.

Keadaan itu, kata beliau, memberikan gambaran bahawa PN masih belum sepenuhnya berjaya menginstitusikan mekanisme pengurusan konflik dalaman yang berkesan, khususnya menangani perbezaan kepentingan antara parti komponen.

“Yang berlaku selepas krisis Menteri Besar Perlis, kemudiannya berkait rapat dengan kedudukan jawatan Pengerusi PN ketika ini, seolah-olah memperkukuh hujah bahawa ketegangan dalam PN bukan lagi isu rutin atau bersifat sementara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ketegangan yang mula menzahirkan kelemahan struktur dan kepimpinan berpotensi menghakis kepercayaan pengundi terhadap keupayaan gabungan ini untuk mentadbir secara stabil dan berkesan sekiranya tidak ditangani secara strategik dan berdisiplin.

“Meskipun terdapat penafian bahawa keadaan masih terkawal, tindakan seperti sindiran terbuka, ketidakhadiran ke mesyuarat penting serta kenyataan yang saling bercanggah antara pemimpin tidak boleh dianggap sebagai perkara remeh. Ia menandakan wujud defisit kepercayaan antara ‘aktor utama’ dalam gabungan, khususnya dari segi penyelarasan keputusan dan kepimpinan bersama,” katanya.

Mujibu berkata walaupun fenomena ini bukan luar biasa dalam politik gabungan, cara hal ini diurus menjadi faktor penentu sama ada ketegangan kekal sebagai dinamika sementara, atau berkembang menjadi konflik struktural sehingga menggugat kestabilan gabungan dalam jangka sederhana atau panjang.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata jika ketegangan berlarutan tanpa mekanisme penyelesaian dalaman yang jelas serta disiplin komunikasi bersama, ia berisiko mencerminkan perpecahan struktural yang lebih mendalam dan bukan sekadar perbezaan taktikal sementara.

Beliau berkata sebarang perubahan struktur atau model kepimpinan dalam PN, jika dilaksanakan secara inklusif, telus dan berasaskan konsensus, berpotensi mengukuhkan gabungan itu dengan memperjelas hierarki kepimpinan serta menyusun semula peranan parti komponen.

“Namun, jika perubahan dibuat secara tergesa-gesa, berat sebelah atau tanpa kepekaan terhadap keseimbangan kuasa antara parti, tindakan itu berisiko membuka ruang kepada perpecahan yang lebih besar.

“Dalam era politik pascapandemik yang menuntut kestabilan dan kecekapan, persepsi terhadap perpaduan dalaman sama pentingnya dengan kekuatan ideologi dan dasar,” katanya.

Awang Azman berkata kegagalan berterusan PN mengurus perbezaan dalaman secara matang bukan sahaja menjejaskan persepsi kestabilan gabungan itu, malah berpotensi melemahkan keyakinan rakyat terhadap keupayaannya sebagai alternatif pentadbiran negara.

Pada Khamis lepas, pemimpin gabungan PN mengadakan pertemuan di kediaman Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi "menggantikan" mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN yang dibatalkan pada saat-saat akhir oleh Timbalan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, tiada wakil PAS termasuk Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang, hadir pada pertemuan berkenaan, sebaliknya PAS mengadakan permukiman parti selama tiga hari bermula dari Jumaat lepas yang dipercayai turut membincangkan hala tuju kerjasama dengan rakan komponen PN serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Terbaharu, media melaporkan bahawa pertemuan pemimpin PN di kediaman Muhyiddin itu didakwa telah bersetuju untuk membentuk Majlis Eksekutif dan sekali gus memansuhkan jawatan Pengerusi PN.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan