AM

MEMBASMI RASUAH DALAM PERKHIDMATAN AWAM PENTING UNTUK LINDUNG KEPERCAYAAN RAKYAT

01/02/2026 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Usaha berterusan membasmi rasuah dalam kalangan penjawat awam penting untuk melindungi kepercayaan awam, memperkukuh tadbir urus dan memastikan sumber awam hanya digunakan untuk manfaat rakyat. 

Ahli Institut Integriti Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata pendekatan menyeluruh dan berkesan diperlukan untuk mencapai matlamat itu, termasuk kemahuan politik yang kuat, memperkasakan dan kebebasan agensi penguatkuasaan serta pelaksanaan undang-undang yang konsisten tanpa rasa takut atau pilih kasih. 

 “Ketelusan dalam membuat keputusan, akses terbuka kepada maklumat dan kawalan dalaman yang teguh mesti menjadi amalan standard di semua jabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Lee juga menekankan kepentingan memupuk budaya integriti dalam kalangan penjawat awam melalui latihan etika berterusan, kod tingkah laku yang jelas, perlindungan kepada pemberi maklumat dan kepimpinan menerusi teladan. 

“Pegawai yang menjunjung integriti harus dikenal pasti dan dilindungi sementara mereka yang menyalahgunakan kedudukan mesti menanggung akibat yang setimpal dengan pantas,” katanya. 

Lee menekankan penglibatan awam juga memainkan peranan penting dalam isu itu, dengan masyarakat, media dan rakyat mesti diperkasakan untuk bertindak sebagai rakan dalam kebertanggungjawaban untuk memastikan rasuah didedahkan dan ditangani, bukan diabai atau dinormalisasikan. 

“Perjuangan menentang rasuah memerlukan kegigihan, keberanian dan tanggungjawab semua pihak. Dengan kekal teguh dalam komitmen kita terhadap integriti dan tadbir urus yang baik, kita boleh membina perkhidmatan awam yang benar-benar berkhidmat untuk kepentingan awam dan mendapat penghormatan serta kepercayaan rakyat,” katanya. 

Lee berkata rasuah dalam perkhidmatan awam menghakis kepercayaan terhadap institusi awam, menjejaskan kedaulatan undang-undang, merosakkan proses membuat keputusan dan menafikan akses rakyat, terutamanya golongan rentan kepada perkhidmatan yang adil. 

Beliau berkata membasmi rasuah bukan semata-mata proses undang-undang atau pentadbiran, tetapi kewajipan moral kerana perkhidmatan awam yang bersih serta profesional penting untuk pelaksanaan dasar yang berkesan, kestabilan ekonomi, keyakinan pelabur dan keharmonian sosial. 

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan