MELAKA, 1 Feb (Bernama) -- Lebih 300 pengendali radio amatur dari seluruh negara menyertai Ujian Simulasi Kecemasan Malaysia (MySET) 2026 bagi menguji senario Black Sky, iaitu tahap kesiapsiagaan sistem perhubungan sokongan negara sewaktu gangguan komunikasi menyeluruh.
Timbalan Presiden Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS) Zanirul Akhmal Zanirun berkata sepanjang latihan, sebanyak 87 senario injection (suntikan) diperkenalkan bagi mensimulasikan pelbagai situasi kecemasan.
"Berdasarkan pencapaian objektif latihan, MySET 2026 dinilai sebagai berjaya dengan enam stesen menunjukkan keupayaan memberikan respons dalam tempoh masa ditetapkan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.
"Latihan ini turut merekodkan penerimaan pelbagai mesej kecemasan dan laporan situasi melalui rangkaian radio amatur dengan semua mesej telah direkodkan untuk tujuan analisis lanjut meliputi ketepatan kandungan, pematuhan format serta masa penghantaran dan penerimaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zanirul yang juga Pengarah MySET 2026 berkata dari aspek liputan geografi, MySET 2026 berjaya melibatkan komunikasi dua hala antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata bagaimanapun komunikasi dengan stesen-stesen di Sabah berhadapan beberapa cabaran, khususnya keadaan propagasi gelombang radio jarak jauh yang tidak konsisten, faktor geografi serta kekangan operasi di beberapa lokasi.
"Cabaran ini memberikan kesan kepada kestabilan isyarat dan masa respons, namun turut memberikan input penting untuk penambahbaikan perancangan komunikasi masa hadapan," katanya.
Mengulas lanjut, Zanirul berkata latihan MySET 2026 dilaksanakan dengan tujuan utama menguji tahap resiliensi komunikasi radio amatur ketika infrastruktur moden gagal sepenuhnya selain sebagai platform latihan berterusan bagi pengendali radio amatur dalam mengendalikan pelbagai perkakasan dan gelombang radio, merangkumi frekuensi tinggi (HF), frekuensi sangat tinggi (VHF), frekuensi lampau tinggi (UHF), Long Range (LoRa) dan lain-lain.
Beliau berkata simulasi itu turut menilai keupayaan operator dalam menghantar mesej formal seperti radiogram, data digital melalui sistem Winlink dan Automatic Packet Reporting System (APRS) serta imej visual menggunakan Slow Scan Television (SSTV) atau televisyen imbas perlahan.
"Antara aspek yang paling mencabar ialah ujian stress, iaitu Pengawal Rangkaian (NCS) diuji dengan panggilan serentak daripada beberapa stesen di seluruh negara.
"Situasi ini penting untuk menilai kepadatan trafik pada frekuensi yang digunakan, juga untuk mengukur tahap kemahiran NCS dalam mengurus mesej serta panggilan kecemasan dengan pantas dan tepat," katanya.
Beliau berkata MySET 2026 membuktikan radio amatur bukan sekadar hobi, malah menjadi aset strategik negara dalam menghadapi bencana.
"Andai menara komunikasi runtuh, banjir melanda dan sumber kuasa terputus, komunikasi radio amatur tetap berfungsi tanpa bergantung kepada infrastruktur penyedia telco," katanya.
-- BERNAMA
