KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat menunaikan ibadat Thaipusam kepada seluruh penganut Hindu.
Anwar menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata Thaipusam sarat dengan makna pengorbanan, keinsafan serta kekuatan spiritual dan nilai kesabaran.
Justeru, disiplin bersama ketekunan yang dizahirkan sepanjang ibadat ini wajar dihormati selain dihargai bersama, kata Perdana Menteri.
“Ketertiban dan keharmonian dalam setiap sambutan upacara keagamaan serta kebudayaan di negara ini mencerminkan kebersamaan dalam kepelbagaian rakyat Malaysia dan perbezaan bukan menjadi sesuatu yang asing, sebaliknya realiti yang telah lama membentuk jati diri Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Thaipusam membawa ketenangan jiwa buat seluruh penganut Hindu, serta terus menyuburkan rasa saling menghormati dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Perdana Menteri turut berharap Thaipusam dapat dilaksanakan dengan penuh kesyukuran dan tertib, sambil sentiasa menjunjung adab serta nilai yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat.
-- BERNAMA
