KUANTAN, 31 Jan (Bernama) -- Program Ziarah MADANI yang dilaksanakan sempena ambang sambutan Tahun Baharu Cina mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata inisiatif itu juga sebahagian daripada usaha berterusan untuk mendekati masyarakat dan mendengar sendiri permasalahan rakyat daripada peringkat akar umbi.
“Melalui pendekatan turun padang ini, ruang dan peluang digunakan sepenuhnya untuk berinteraksi secara langsung dengan keluarga terlibat selain memahami cabaran kehidupan seharian, khususnya berkaitan kos sara hidup, kesihatan serta kebajikan keluarga.
“Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan, setiap keluarga yang diziarahi menerima sumbangan kewangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM500 bagi meringankan beban mereka membuat persiapan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program ziarah pada minggu lepas itu melibatkan lawatan ke 10 rumah penerima berdaftar sistem e-Kasih dalam kawasan Parlimen Indera Mahkota, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu.
Hadir sama Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Razihan Adzharuddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Chan Chun Kuang.
Lawatan juga disertai pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membuat bancian dan melihat potensi bantuan boleh disalurkan kepada penerima.
Ahmad Farhan berkata inisiatif Ziarah MADANI mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Semangat kebersamaan serta keharmonian masyarakat majmuk harus sentiasa disemai dan dipupuk di negara ini. Pendekatan mendengar, memahami dan bertindak secara langsung di lapangan akan terus diperkasakan sebagai asas kepada tadbir urus berteraskan nilai ihsan, empati dan keadilan sosial,” katanya.
-- BERNAMA
