DUNIA

SEORANG MAUT, ENAM HILANG SELEPAS KAPAL NELAYAN AS KARAM DI MASSACHUSETTS

01/02/2026 12:01 AM

SAN FRANCISCO, 31 Jan (Bernama-Xinhua) -- Seorang maut manakala enam lagi dilaporkan hilang selepas sebuah kapal nelayan komersial karam di luar pantai negeri Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, lapor Xinhua.

Pengawal Pantai AS berkata bilik kawalan menerima isyarat kecemasan daripada suar radio penunjuk kedudukan kecemasan (EPIRB) kira-kira pukul 6.50 pagi waktu tempatan (1150 GMT) daripada kapal nelayan Lily Jean sepanjang 22 meter itu.

Pihak berkuasa kemudian mengesahkan bahawa terdapat tujuh orang berada di atas kapal berkenaan.

 Pengawal Pantai melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan mengerahkan kru helikopter MH-60 Jayhawk dan kru bot kecil ke lokasi kejadian, selepas gagal menghubungi kapal berkenaan.

Pasukan penyelamat menemui serpihan kapal berhampiran lokasi isyarat dikesan, kira-kira 40.23 kilometer di luar pantai Cape Ann.

Seorang mangsa ditemukan di dalam air dalam keadaan tidak sedarkan diri, selain sebuah rakit penyelamat kosong milik kapal itu turut dijumpai.

Identiti mangsa yang maut masih belum didedahkan dan usaha mencari baki mangsa yang hilang masih diteruskan.

--BERNAMA-XINHUA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan