BATU PAHAT, 30 Jan (Bernama) -- Polis mengesahkan penemuan mayat seorang wanita tempatan di sebuah rumah di Taman Damai, di sini, dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya selepas gagal dihubungi ahli keluarga selama tiga hari.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata mayat wanita berusia 41 tahun yang bekerja di sebuah pasar raya itu ditemukan kira-kira 12.30 tengah malam tadi selepas polis bersama ahli keluarga mangsa dan pemilik rumah menyerbu kediaman yang disewa mangsa.
Beliau berkata pasukan bomba terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan selepas mendapati ia berkunci dari dalam dan sejurus pintu dibuka, polis menemukan mangsa sudah tidak bernyawa di atas katil.
“Turut ditemui ialah seorang lelaki berusia 44 tahun, dipercayai teman lelaki mangsa, terbaring di atas katil bersebelahan dalam keadaan kritikal akibat kesan kelar di bahagian leher serta pergelangan tangan.
“Siasatan awal mendapati lelaki tersebut dipercayai melakukan perbuatan jenayah sehingga menyebabkan kematian mangsa sebelum mencederakan diri sendiri dan tidak menolak kemungkinan dia berniat membunuh diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis masih menyiasat motif kejadian.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
-- BERNAMA
