KOTA KINABALU, 30 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah kini sedang berusaha untuk mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (MS ISO 9001:2015) dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS 37001:2025) secara bersepadu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata ia bagi memperkukuhkan tadbir urus organisasi, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta menzahirkan komitmen yang berterusan terhadap integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan serta pentadbiran.
“Perkhidmatan awam mesti terus diperkasa untuk menjamin sistem penyampaian yang efektif dan efisien secara konsisten. Ia bukan hanya kepada agensi perkhidmatan awam tetapi juga kepada semua petugas badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Penjawat Awam Negeri dan Pelancaran Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Hajiji berkata berkata kerajaan negeri komited untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang lebih kemas, tersusun dan berdisiplin kerana implikasi perlakuan tidak berintegriti bukan sahaja mencemarkan nama baik individu malah memberi kesan besar kepada keluarga, institusi yang diwakili serta mengakibatkan kerugian besar kepada negeri dan negara.
Ketua Menteri berkata penjawat awam bukan sekadar “saya yang menurut perintah” tetapi juga sebagai rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program kepada hasil yang memberi impak langsung terhadap kehidupan rakyat dan kemajuan tanah air.
Dalam pada itu, beliau berkata perkembangan politik negeri mutakhir itu telah memperkukuh kedudukan kerajaan negeri hingga mencapai penguasaan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menjamin kestabilan politik yang amat penting bagi kesinambungan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat untuk tempoh jangka panjang.
Hajiji berkata kestabilan itu membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan penggubalan serta meminda perlembagaan negeri selaras dengan keperluan semasa, antaranya cadangan mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri maksimum dua penggal atau 10 tahun.
Selain itu, penambahan beberapa anggota Kabinet negeri bagi menepati keperluan pentadbiran yang semakin kompleks, selain penjenamaan semula jawatan pembantu menteri kepada timbalan menteri agar lebih relevan dan selari dengan amalan pentadbiran semasa.
“Justeru, penstrukturan semula beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuk GLC sedang dilakukan sebagai langkah penambahbaikan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan serta prestasi dalam setiap entiti kerajaan ini benar-benar efisien dan berkesan, lebih penting tidak merugikan rakyat dan kerajaan.
“Langkah ini selaras dengan aspirasi rakyat serta agenda pembangunan kerajaan di bawah kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
-- BERNAMA
