KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan momentum meningkatnya pada tengah hari ini dalam persekitaran pasaran serantau yang kebanyakannya rendah berikutan petunjuk bercampur-campur daripada Wall Street semalaman, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.35 peratus atau 6.05 mata kepada 1,736.94 daripada 1,730.89 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks barometer dibuka tinggi 1.73 mata kepada 1,732.62, paras terendah pada sesi dagangan pagi sebelum menuju ke arah paras tertinggi harian pada 1,744.82.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 581 berbanding 339 dengan 580 kaunter tidak berubah, 1,190 tidak diniagakan dan 61 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.45 bilion saham bernilai RM1.33 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur berikutan jualan saham teknologi menjadi tumpuan selepas pendapatan Microsoft di bawah jangkaan dan panduan berhati-hati mengenai prospeknya pada masa depan.
“Sementara itu, hasil Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh 10 tahun merosot kepada 4.23 peratus,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing menambah 14 sen kepada RM11.78 dan RM8.61, Public Bank naik lima sen kepada RM4.90 manakala Tenaga Nasional berkurangan enam sen kepada RM13.94 dan IHH Healthcare merosot dua sen kepada RM8.84.
Dalam senarai paling aktif, Capital A berkurangan dua sen kepada 61.5 sen, Dagang NeXchange merosot 1.5 sen kepada 30.5 sen, SP Setia menurun satu sen kepada 96.5 sen manakala Tanco meningkat dua sen kepada RM1.36.
Kaunter paling untung termasuklah Hong Leong Bank, naik 50 sen kepada RM24.82; Hong Leong Financial meningkat 30 sen kepada RM22.00; Dutch Lady Milk Industries menambah 16 sen kepada RM33.26 dan Ta Ann naik 14 sen kepada RM4.73.
Kaunter paling rugi ialah Nestle, merosot RM1.70 kepada RM112.30; Batu Kawan berkurangan 18 sen kepada RM19.40; Malaysian Pacific Industries dan United Plantations, masing-masing menurun 14 sen kepada RM32.06 dan RM30.44.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 33.01 mata kepada 12,532.85 dan Indeks FBM Emas naik 28.44 mata kepada 12,719.94.
Sebaliknya, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 28.17 mata kepada 12,250.06, Indeks FBM ACE merosot 23.53 mata kepada 4,720.25 dan Indeks FBM Mid 70 menurun 1.75 mata kepada 17,465.68.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 261.20 mata kepada 21,397.54, Indeks Perladangan naik 10.11 mata kepada 8,375.09 dan Indeks Tenaga meningkat 4.31 mata kepada 757.37, bagaimanapun Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.24 mata kepada 175.90.
-- BERNAMA
