DUNIA

MALAYSIA TERUS MAINKAN PERANAN AKTIF TERAJUI PROSES RUNDINGAN COC - MENTERI LUAR MOHAMAD

30/01/2026 12:50 PM

Daripada Linda Khoo

CEBU, 30 Jan (Bernama) -- Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dan signifikan dalam menerajui proses rundingan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan bagi memastikan ia dapat dimuktamadkan tahun ini melalui kerjasama serta persefahaman antara negara anggota ASEAN dan China, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata Malaysia sebagai negara penyelaras hubungan dialog ASEAN-China (Ogos 2024 - Julai 2027), secara bersama dengan China telah mengambil inisiatif untuk memperbanyakkan mesyuarat pada tahun ini.

Ini termasuk Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN-China mengenai Pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (SOM-DOC) dan Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-China mengenai Pelaksanaan DOC (JWG-DOC).

“Pada sesi Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di Cebu, saya menekankan perlunya usaha berterusan memuktamadkan COC dalam garis masa yang ditetapkan.

“Hal ini adalah penting kerana kewujudan COC akan menyumbang kepada pengukuhkan kestabilan dan keamanan serantau,” katanya kepada Bernama.

Mohamad berkata negara-negara anggota juga menyampaikan mesej jelas dan konsisten pada Sesi Permukiman ini iaitu mempercepat proses rundingan yang sedang berlangsung.

Mohamad berkata rundingan COC kini sudah mencapai tahap 70 peratus.

“Saya yakin COC boleh dimuktamadkan pada tahun ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan Pengerusi Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN merangkap Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro berkata ASEAN menyambut baik momentum positif dan kemajuan dalam rundingan COC yang sedang berjalan.

“Kami akan berusaha untuk memuktamadkan rundingan COC yang berkesan dan substantif selaras dengan undang-undang antarabangsa, terutamanya UNCLOS 1982 (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982) dalam tahun ini,” katanya.

Permukiman AMM menandakan mesyuarat utama pertama di bawah tonggak Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) semasa Kepengerusian ASEAN 2026 oleh Filipina yang diadakan di bawah tema “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama”.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan