AM

UTEM, TUKE JALIN KERJASAMA BANGUNKAN MAKMAL AI DAN SIBERNETIK

30/01/2026 10:28 AM

MELAKA, 30 Jan (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalin kerjasama strategik dengan Technical University of Kosice (TUKE), Slovakia dalam bidang teknikal bagi membangunkan makmal kecerdasan buatan (AI) dan sibernetik berteknologi terkini.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata pembangunan makmal AI dan sibernetik berkenaan merupakan perkongsian teknologi serta kepakaran di bawah Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Makmal berkenaan yang akan dilengkapi dengan teknologi moden dan canggih dijangka dibangunkan pada tahun ini dan ia akan diguna bersama antara UTeM dan TUKE bagi manfaat kedua-dua universiti.

"Selain pembangunan Makmal AI dan Sibernetik, UTeM dan TUKE turut akan bekerjasama dalam dua projek berimpak tinggi iaitu pembangunan teknologi terkini komputer super dan teknologi hidrogen yang mendapat perhatian dan permintaan pasaran dunia pada masa kini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu merupakan sebahagian daripada inisiatif UTeM bagi pemerkasaan AI dalam bidang TVET yang memberikan impak langsung kepada aspirasi negara bagi kemajuan bidang tersebut.

Katanya kerjasama lain antara UTeM dan TUKE juga melibatkan program mobiliti pendidikan tinggi, program penyelidikan dan inovasi serta penyebaran ilmu dan pemantapan kurikulum.

Massila berkata kedua-dua universiti juga akan bekerjasama untuk memperkasakan mobiliti kredit antarabangsa Erasmus+ serta pembelajaran berpengalaman dan penyerapan budaya antara Malaysia dan Slovakia.

"Hubungan UTeM dan TUKE telah terjalin erat dalam konteks pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa melibatkan banyak agenda berimpak tinggi dijayakan bersama.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan