AM

RON95 BERSUBSIDI: PDAM SOKONG TINDAKAN TEGAS LIBAT KENDERAAN ASING

29/01/2026 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menyokong penuh keputusan kerajaan memperluas tindakan penguatkuasaan penyalahgunaan petrol RON95 bersubsidi, termasuk terhadap pemandu kenderaan berdaftar asing, bermula 1 April ini.

Dalam kenyataan hari ini, PDAM memaklumkan kebanyakan kes penyalahgunaan RON95 melibatkan kenderaan berdaftar asing sering terlepas daripada tindakan kerana tidak dikesan ketika ia sedang berlaku, sebaliknya hanya terbongkar selepas rakaman video tular atau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tersebar.

“Pengiktirafan liabiliti di pihak pembeli ini merupakan pendirian lama yang diperjuangkan oleh PDAM dan menandakan satu langkah penting ke arah rangka kerja penguatkuasaan yang lebih seimbang dan adil. 

“Buat pertama kali, pelaku sebenar yang mempunyai niat iaitu pemandu yang dengan sengaja menyalahgunakan bahan api bersubsidi boleh dipertanggungjawabkan,” menurut kenyataan itu.

PDAM juga bersetuju tindakan tegas wajar diambil terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak yang dengan sengaja dan secara sedar menjual bahan api bersubsidi kepada pihak tidak layak.

Namun, menurut persatuan itu, realiti operasi stesen minyak masa kini perlu diambil kira memandangkan kebanyakannya beroperasi secara layan diri dengan tenaga kerja yang telah dioptimumkan di bawah struktur komisen tetap.

“Pengusaha bukan pegawai penguat kuasa dan tidak mempunyai keupayaan praktikal untuk melakukan pengesahan masa nyata terhadap setiap kenderaan, khususnya di stesen berjumlah transaksi tinggi. 

“Oleh itu, tanggungjawab penguatkuasaan mesti terletak terutamanya pada pihak berkuasa dan sistem serta tidak dipindahkan kepada pengusaha,” menurut PDAM.

Pada masa sama, PDAM memaklumkan hukuman perlu adil dan berdasarkan niat sebenar, pengusaha yang tidak mempunyai niat atau pengetahuan perlu berdepan penalti RM1 juta hingga RM1.5 juta, justeru pemandu yang bertindak dengan niat jelas, termasuk menyembunyikan nombor pendaftaran atau membuat representasi palsu terhadap kenderaan mereka, wajar dikenakan penalti yang bermakna, berkadar dan mencerminkan tahap kesalahan.

Selain itu, PDAM turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan penggunaan imej yang direka, nombor pendaftaran asing palsu serta kes peras ugut yang mengeksploitasi ketidakseimbangan penguatkuasaan, dengan beberapa pengusaha telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Sehubungan itu, PDAM menyokong penggunaan penguatkuasaan berasaskan teknologi, termasuk sistem yang dapat mengesan kenderaan berdaftar asing dan mengehadkan pengisian petrol kepada RON97.

Sekiranya sistem itu dianggap tidak praktikal atau tidak seimbang dari segi kos dan sumber, PDAM menggesa agar penguatkuasaan difokuskan kepada kebocoran subsidi berimpak tinggi, khususnya melibatkan sindiket terancang dan penyelewengan berskala besar.

“PDAM tidak meminta penguatkuasaan diperlemah, sebaliknya menuntut penguatkuasaan yang adil, berkadar, praktikal dan selari dengan impak ekonomi sebenar,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan