BUKIT KAYU HITAM, 29 Jan (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas konsainan import makanan haiwan seberat 21,000 kilogram bernilai RM81,900 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam di sini semalam.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasarudin Md Nasir berkata seorang pemandu lori warga tempatan berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan.
Beliau berkata pemeriksaan yang dijalankan pada 6 petang mendapati konsainan itu tidak tersenarai dalam lesen yang diluluskan di bawah Akta Makanan Haiwan 2009, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sehubungan dengan itu, barangan itu telah ditahan bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nasarudin berkata kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan import adalah satu kesalahan serius dan AKPS akan memastikan setiap pelanggaran disiasat serta diambil tindakan sewajarnya.
-- BERNAMA
