JENAYAH & MAHKAMAH

331 KES UBAH WANG HARAM LIBAT BEKAS CEO, TIGA AKAUNTAN GISBH DIBICARA DI HADAPAN HAKIM SAMA

29/01/2026 02:55 PM

SHAH ALAM, 29 Jan (Bernama) -- Pendakwaan 331 kes pengubahan wang haram lebih RM38.1 juta membabitkan, masing-masing bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan tiga akauntan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan dibicarakan di hadapan hakim sama.

Hakim Fatimah Zahari memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kesemua kes tersebut dibicarakan bersama di hadapannya selepas dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mahkamah Sesyen Johor Bharu dan Mahkamah Sesyen Kulim.

Pertuduhan itu membabitkan Nasiruddin Mohd Ali, 67, yang berdepan 77 pertuduhan melibatkan lebih RM10 juta; Hamimah Yakub, 74, (95 pertuduhan, RM11.4 juta); Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, (68 pertuduhan, RM4.7 juta); dan Mohd Khushairi Osman, 55, (91 pertuduhan, hampir RM12 juta).

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata permohonan untuk menggabungkan kesemua kes telah dilaksanakan di semua mahkamah yang terlibat sebelum ini.

Peguam Datuk Rosli Kamaruddin mewakili tiga tertuduh Nasiruddin, Asmat @ Asmanira dan Mohd Khushairi serta peguam Datuk Mohd Khair Yakub yang mewakili Hamimah, tidak membantah permohonan tersebut.  

Sementara itu, Rosli memaklumkan pihaknya akan mengemukakan satu representasi berkenaan kes tersebut  yang akan difailkan dalam tempoh tiga minggu.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mei depan.

Pada 10 Sept 2025, Nasiruddin dan tiga bekas akauntan syarikat itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi mereka.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank sekitar Selangor antara 2020 hingga 2024, melibatkan transaksi kepada beberapa pihak antaranya akaun bank milik GISBH Sdn Bhd, GISB Mart Sdn Bhd, GISB Travel and Tours Sdn Bhd serta syarikat pusat jagaan kanak-kanak.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.  

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan