EKONOMI

PROJEK PERLOMBONGAN MALAYSIA-PERANCIS MAJU KE HADAPAN, SASAR PENGEMBANGAN HILIRAN

28/01/2026 11:02 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Projek perlombongan Malaysia-Perancis di antara Malaco Mining Sdn Bhd dengan pakar penapisan dan kitar semula nadir bumi Perancis, Carester memasuki fasa kilang perintis untuk perlombongan dan penapisan.

Projek ini berjalan lancar selain memberikan peluang yang unik kepada Malaysia untuk mengembangkan kapasiti perindustrian sedia ada.

Delegasi Antara Kementerian Perancis bagi Bekalan Mineral dan Logam Strategik Benjamin Gallezot berkata Malaysia berpeluang membangunkan teknologi tempatan bagi menapis nadir bumi ringan dan berat yang kemudiannya boleh digunakan di sektor magnetik hiliran.

“Ini merupakan projek utama dan satu daripada objektif lawatan kami iaitu untuk berhubung dengan pelbagai pihak berkuasa Malaysia bagi mencapai semua syarat yang diperlukan untuk memastikan perjanjian yang ditandatangani tahun lepas di bawah pengawasan kedua-dua Perdana Menteri, berjaya sepenuhnya,” kata Gallezot pada sidang akhbar hari ini.

Pada 4 Julai, 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Perancis François Bayrou menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman di antara syarikat perlombongan tempatan Malaco Mining dan Carester semasa lawatan rasmi Anwar ke Perancis.

Gallezot yang juga merupakan penasihat kepada Presiden Perancis mengenai mineral dan logam strategik berkata memandangkan kualiti sumber nadir bumi Malaysia dan kemampuan penapisan peringkat pemprosesan yang sedang dibangunkan oleh kedua-dua syarikat di Malaysia, sektor pembuatan magnet hiliran dijangka berkembang dengan ketara di negara ini.

Walaupun syarikat Perancis terlibat dalam peringkat huluan dan penapisan, beliau berkata sektor magnet hiliran tidak semestinya memerlukan rakan kerjasama Perancis kerana beberapa syarikat Eropah lain turut menunjukkan minat.

“Jepun juga sangat berminat dengan projek ini di Malaysia dan kami turut mengadakan perbincangan dengan kerajaan Jepun.

“Justeru, saya sangat yakin (dengan kejayaan projek ini) memandangkan kualiti sumber nadir bumi Malaysia, kemampuan penapisan peringkat pemprosesan dan hiliran yang sedang kita bina, oleh itu, kita boleh berjaya mewujudkan sektor pembuatan magnet,” katanya.

Beliau menambah Malaysia mempunyai pengalaman teknikal yang diperlukan, asas industri berkualiti dan kapasiti untuk memperluas (operasi) dalam pasaran hiliran ini.

“Kami tidak terlibat secara langsung dalam bahagian ini buat masa ini, tetapi kami sangat gembira. Saya tahu terdapat syarikat Perancis yang akan menghasilkan sebahagian magnet di Eropah dan bahagian lain yang dihasilkan di sini, di Malaysia.

“Dan kami juga sangat gembira untuk mengadakan perbincangan dengan pengeluar magnet yang ingin melabur di sini,” tambahnya.

Gallezot berkata kepentingan Perancis dalam kerjasama ini melangkaui nadir bumi kerana negara itu juga ingin mencadangkan pembangunan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang lain.

“Malaysia boleh terus menjadi rakan strategik yang sangat penting bagi Eropah dan Perancis dalam sektor ekonomi iaitu dalam persekitaran apabila rantaian bekalan dipelbagaikan selain membuka peluang baharu untuk perdagangan serta kerjasama ekonomi yang menjadi keutamaan,” tambahnya.

Perancis kekal sebagai satu daripada lima rakan dagangan utama Malaysia dalam Kesatuan Eropah. Pada 2024, perdagangan dua hala mencapai RM15.95 bilion (US$3.63 bilion).

Bagi tempoh antara Januari hingga Mei tahun lepas, perdagangan dua hala berjumlah RM6.26 bilion (US$1.49 bilion).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan