DUNIA

NIAGA HADAPAN EMAS DITUTUP TINGGI SEIRING COMEX AS, PERMINTAAN BERTERUSAN

28/01/2026 09:03 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini, menjejaki kenaikan niaga hadapan emas Bursa Komoditi New York Amerika Syarikat (Comex AS) berikutan permintaan berterusan terhadap logam berharga itu sebagai lindung nilai daripada risiko geopolitik dan kewangan.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata bank pusat global kini menyimpan emas yang lebih tinggi nilainya berbanding perbendaharaan AS dan ia dipacu realiti pasaran.

“Sejak pembekuan aset Rusia pada 2022, banyak negara secara senyap meningkatkan rizab emas masing-masing sebagai tindak balas terhadap peningkatan risiko politik, sekatan, mata wang dan tempoh matangnya.

“Peralihan ini bukan mengenai keghairahan terhadap emas sebaliknya perlindungan lembaran imbangan apabila emas tidak membawa kepada risiko kegagalan pembayaran, tiada kebergantungan politik dan tiada pendedahan mata wang,” katanya dalam ulasan pasaran hari ini.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Januari 2026 meningkat kepada US$5,295.40 setiap auns troy daripada US$5,090.30 setiap auns troy, Februari 2026 naik kepada US$5,311.70 setiap auns troy daripada US$5,106.60 setiap auns troy manakala Mac 2026 menokok kepada US$5,330.00 setiap auns troy daripada US$5,124.90 setiap auns troy pada Selasa.

Kontrak April, Jun dan Ogos 2026 turut ditutup lebih tinggi pada US$5,348.10 setiap auns troy daripada US$5,143.00 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan menurun kepada 433 lot daripada 518 lot semalam manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 524 kontrak daripada 590 kontrak sebelumnya.

Emas fizikal ditetapkan pada US$5,088.10 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 27 Jan, 2026.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan