SANDAKAN, 28 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas sebuah bot yang membawa tujuh tan minyak sawit mentah tanpa dokumen pemilikan dan lesen pengangkutan sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di perairan Sandakan semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata dua lelaki tempatan berumur 38 tahun dan seorang warga asing berumur 42 tahun ditahan di lokasi kira-kira 0.8 batu nautika tenggara Kampung Gas.
“Bot serta minyak sawit yang dirampas, dianggarkan bernilai RM75,000, telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut oleh APMM dan MPOB,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Suhairy berkata kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) kerana gagal mempamerkan Ikrar Pergerakan Domestik MPOB.
Selain itu, kesalahan turut melibatkan pelanggaran Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Kapal Kecil Berlesen Sabah) 2008, termasuk gagal mempamerkan lesen, nombor pendaftaran serta membawa muatan minyak sawit mentah tanpa kebenaran.
Beliau menambah, APMM akan terus memperketatkan rondaan dan penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti menyalahi undang-undang di perairan negara.
“Orang awam juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Maritim Sandakan dengan menghubungi talian 089-229504 atau talian kecemasan 999,” katanya.
-- BERNAMA
