AM

AUKU MASIH RELEVAN, PERKUKUH EKOSISTEM PENDIDIKAN TINGGI NEGARA

28/01/2026 11:46 AM

IPOH, 28 Jan (Bernama) -- Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 masih kekal relevan dan wajar dipertahankan pelaksanaannya bagi memastikan kelancaran sistem pentadbiran universiti di negara ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Dr Norkhalid Salimin berkata AUKU membentuk asas kukuh dalam penubuhan, penyelenggaraan serta pentadbiran universiti awam, sekali gus menjamin prinsip pengurusan yang berkualiti, teratur dan mampan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Awam berkata jawatankuasa berkenaan secara tegas menyatakan sokongan penuh terhadap pengekalan AUKU sebagai sumber rujukan utama dalam tadbir urus universiti. 

“Walaupun AUKU telah melalui pelbagai pindaan bagi menyesuaikannya dengan cabaran semasa, akta ini kekal relevan sebagai kerangka perundangan yang seimbang dalam menjamin kebebasan akademik seiring dengan tanggungjawab sosial, seterusnya memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norkhalid berkata demikian ketika mengulas ketegasan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak bercadang memansuhkan AUKU, sebaliknya akta itu telah beberapa kali ditambah baik.

Zambry dilaporkan berkata AUKU merupakan rangka perundangan utama bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti awam, dengan akta tersebut telah melalui lapan kali pindaan meliputi pelbagai skop termasuk penambahbaikan tatakelola, pengurusan aktiviti serta tata tertib pelajar.

Sehubungan itu, Norkhalid berkata Jawatankuasa Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk memelihara dan memperkasakan AUKU.

“Kami juga memberi jaminan bahawa sebarang pindaan dilaksanakan selaras dengan prinsip kesejahteraan pelajar serta integriti universiti sebagai institusi yang komited terhadap pembangunan holistik pelajar. Justeru, kami yakin AUKU yang terus diperbaharui mengikut keperluan kontemporari amat penting,” katanya.

Menurut beliau, AUKU turut merangkumi pengurusan tata tertib yang adil dan berkesan, pengurusan kewangan persatuan mahasiswa yang telus, serta penglibatan pelajar dalam proses demokrasi kampus.

Norkhalid berkata pelaksanaan AUKU berjaya memastikan generasi mahasiswa berkembang dalam persekitaran yang kondusif, matang dan bertanggungjawab.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan