Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia terus dipacu dan disokong oleh asas-asas kukuh, ekonomi yang pelbagai serta permintaan domestik yang berdaya tahan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, beliau turut menegaskan bahawa struktur ekonomi serta perdagangan Malaysia yang pelbagai dan tidak terlalu bergantung kepada satu sektor, industri atau produk tertentu.
“Pasaran eksport kita juga pelbagai. Kita tidak hanya berdagang dengan satu negara tertentu sebaliknya dengan banyak ekonomi (negara) lain.
“Tiada satu negara yang menyumbang lebih daripada 15 peratus eksport Malaysia...ini menjadi bukti ekonomi kita yang pelbagai,” katanya.
Menjelaskan selanjutnya, Abdul Rasheed berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia mengatasi jangkaan tahun lepas dengan enjin atau penggerak utama yang menyokong pertumbuhan seperti penggunaan, pelaburan, eksport dan pelancongan.
Menyentuh dasar fiskal, beliau berkata kerajaan telah memaparkan kredibiliti dasar menerusi langkah rasionalisasi subsidi membabitkan bahan api, elektrik, air dan diesel.
“Kerajaan telah memaparkan kesungguhannya dengan melaksanakan agenda pembaharuan ekonomi. Kerajaan telah menjanjikan pembaharuan dan mengotakannya dalam cara yang tidak menjejaskan pertumbuhan.
“(Pada masa sama) kerajaan juga berpegang pada komitmennya terhadap reformasi fiskal. Ini telah membolehkan penjimatan fiskal itu dapat disalurkan semula kepada rakyat menerusi cara bersasar,” katanya.
Selain itu, Abdul Rasheed juga menyifatkan rangka kerja nasional seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) serta Strategi Semikonduktor Nasional Malaysia (NSS) sebagai paparan hala tuju dasar yang jelas untuk kalangan pelabur.
“Kesemua faktor-faktor domestik yang positif ini hanya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk pelabur global, sekali gus menyumbang kepada peningkatan sokongan terhadap (pengukuhan) ringgit,” katanya.
-- BERNAMA
