PUTRAJAYA, 27 Jan (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhasrat menghantar pegawainya ke United Arab Emirates Accountability Authority (UAEAA) bagi mempelajari dan mendalami kepakaran agensi itu, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) termasuk aplikasi teknologi berkenaan dalam analisis kewangan dan siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, perkara itu dicapai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan UAEAA dalam usaha pencegahan dan pembanterasan rasuah, termasuk penggunaan AI dalam siasatan kewangan.
“Kerjasama ini dijangka menyumbang kepada pengukuhan keupayaan agensi kedua-dua pihak dalam menangani isu tadbir urus, meningkatkan integriti sektor awam serta menyokong agenda pembangunan mampan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU di antara SPRM dan UAEAA di Abu Dhabi pada Ahad lalu.
Menerusi MoU ini, SPRM dan UAEAA bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pertukaran maklumat, pembangunan kapasiti, perkongsian kepakaran serta amalan terbaik dalam pencegahan dan pembanterasan rasuah, selaras dengan standard dan amalan antarabangsa.
MoU tersebut dimeterai oleh Tan Sri Azam dan Pengerusi UAEAA, H.E. Humaid Abushibs dengan disaksikan oleh Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim.
Terdahulu Tan Sri Azam mengadakan pertemuan dengan Humaid Abushibs bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan kerjasama di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) khususnya dalam bidang pengurusan integriti, pencegahan rasuah, audit, akauntabiliti sektor korporat serta penggunaan teknologi dalam penguatkuasaan.
Beliau berkata, SPRM juga bersedia menawarkan bantuan dan kerjasama kepada UAEAA dalam apa jua bidang diperlukan, termasuk aspek penguatkuasaan, perisikan dan pencegahan rasuah.
UAEAA merupakan badan tertinggi akauntabiliti dan ketelusan di UAE yang melapor secara langsung kepada kepimpinan tertinggi negara, dengan peranan utama untuk melindungi dana awam serta meningkatkan tahap akauntabiliti melalui dua sektor utama, iaitu sektor pencegahan rasuah dan sektor audit.
Sementara itu, kedua-dua pihak menzahirkan penghargaan terhadap hubungan erat Malaysia dan UAE yang terjalin sejak sekian lama dan terus berkembang dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi serta tadbir urus, menjadi asas penting kepada peluasan kerjasama antara SPRM dan UAEAA menghadapi cabaran yang semakin kompleks dan bersifat rentas sempadan.
--BERNAMA
