Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga hari ini dengan mencecah satu lagi paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 3.95 hari ini dengan ahli ekonomi menjangkakan paras sokongan baharu seterusnya pada RM3.8722.
Pada jam 6 petang ini, ringgit mengukuh kepada 3.9500/9555 berbanding dolar AS daripada 3.9615/9670, semalam yang merupakan paras tertinggi sejak mencatat 3.9480 pada Mei 2018.
Bercakap kepada Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mesyuarat dua hari FOMC di AS bermula malam ini yang akan dipantau rapat kalangan peniaga dan pelabur bagi mendapatkan pandangan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai prospek ekonomi dan hala tuju dasar di masa akan datang.
“Pasaran misalnya telah menjangkakan dua pengurangan kadar faedah utama AS tahun ini yang memaparkan persepsi bahawa Fed mengamalkan kelonggaran dasar apabila keadaan ekonomi berkembang.
“Selain itu, pengerusi baharu bank pusat AS akan dilantik dalam masa terdekat dan akan diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump tidak lama lagi,” katanya.
Mohd Afzanizam sebelum ini berkata, berdasarkan analisis carta teknikal, paras sokongan baharu bagi mata wang tempatan itu adalah pada RM3.8722.
Beliau berkata walaupun sentimen dalam masa terdekat ini kekal positif, pasaran dijangka kekal berwaspada terhadap hala tuju kadar faedah bagi 2026.
Pada pagi ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata angka ekonomi yang positif berjaya memperkukuh kedudukan dan nilai ringgit, malah pengukuhan mata want itu juga menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara sejajar dengan peningkatan angkanya.
“(Pengukuhan) ringgit tidak harus dilihat secara terpisah (tetapi) harus dilihat juga dari segi peningkatan pelaburan dan pendapatan serta (kadar) pengangguran yang berkurangan.
“Angka ekonomi secara keseluruhannya menunjukkan petanda positif dan berjaya memperkukuh kedudukan ringgit,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, ringgit juga meningkat berbanding kumpulan mata wang utama lainnya.
Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4103/4178 daripada 5.4166/4241 semalam, meningkat berbanding euro kepada 4.6958/7023 daripada 4.6999/7064 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5691/5730 daripada 2.5783/5820 sebelum ini.
Prestasi sama turut dicatatkan ringgit berbanding mata wang negara anggota ASEAN lainnya iaitu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1174/1219 daripada 3.1242/1288 semalam, naik berbanding baht Thailand kepada 12.7247/7478 daripada 12.7441/7679, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 235.5/236.0 daripada 236.0/236.4 serta naik berbanding peso Filipina kepada 6.68/6.70 daripada 6.72/6.73.
-- BERNAMA
