Oleh Ummu Khalidah Hamzah
SHAH ALAM, 27 Jan (Bernama) -- Sejak kecil, setiap kali mengikut ayahnya seorang juruteknik pesawat di Airod Sdn Bhd ke tempat kerja, mata Buvanraj Rajasingam tidak pernah lepas daripada memandang pesawat yang berlepas dari landasan.
Bunyi ngauman enjin dan kelibat kapal terbang yang semakin mengecil membelah langit biru menyebabkan dirinya dalam diam menyimpan cita-cita menjadi juruterbang untuk mengemudi pesawat apabila dewasa.
Namun, laluan untuk duduk di kerusi kokpit tidak mudah dan Buvanraj, 32, berkata dirinya terpaksa mengharung pelbagai cabaran sebelum dapat menjadi Pegawai Pertama syarikat penerbangan AirAsia pada tahun ini.
“Pada mulanya saya berhasrat menjadi juruterbang, tetapi pada masa itu peluang agak terhad. Jadi, ayah menasihatkan saya untuk meneruskan pelajaran dalam bidang penyelenggaraan kapal terbang dahulu untuk memperkukuh asas dan pemahaman tentang pesawat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bermula dengan mengambil jurusan penyelenggaraan pesawat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam, Buvanraj membuktikan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu membuka peluang kerjaya berperingkat sehingga ke tahap tertinggi dalam industri penerbangan.
Selepas menamatkan pengajian dan menerima lesen sah, Buvanraj berkhidmat sebagai Juruteknik Kapal Terbang di AirAsia selama lapan tahun sebelum menyertai Program Juruterbang Kadet syarikat itu pada 2023 untuk mengejar cita-cita asalnya.
Pendedahan awal tentang sistem pesawat serta pengalaman bekerja memudahkan dirinya melepasi lima peringkat ujian saringan sebelum diterima masuk ke program latihan juruterbang selama dua tahun.
“Berbeza dengan mereka (daripada Sijil Pelajaran Malaysia) yang masuk terus ke bidang juruterbang, mereka tidak tahu bagaimana kapal terbang berfungsi atau mengaktifkan sistem. Jadi mereka perlu belajar asas sistem dari awal.
“Bagi kami yang ada latar belakang penyelenggaraan kapal terbang sudah mempelajari semua sistem itu secara terperinci. Jadi kami boleh terus fokus kepada latihan penerbangan seperti cara menerbangkan dan mendaratkan kapal terbang,” katanya.
Penuntut semester akhir Diploma Teknologi Kejuruteraan dalam Penyelenggaraan Avionik di Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) Muhammad Danish Aqil Azmi, 21, berkata TVET melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal untuk terus memasuki alam pekerjaan.
“Institusi ini menawarkan konsep dua dalam satu, iaitu gabungan teori akademik dan latihan praktikal industri yang intensif untuk persediaan kerjaya. Jurusan disediakan merangkumi hampir semua bidang penerbangan termasuk jurutera penerbangan, juruteknik dan pengurusan syarikat penerbangan,” katanya.
Muhammad Danish Aqil yang juga penuntut huffaz professional, iaitu program tahfiz melalui inisiatif universiti itu berkata kemahiran TVET penerbangan juga ‘laris’ dalam industri lain seperti Minyak dan Gas kerana asas teknikal yang serupa.
Menyentuh stigma kecerdasan buatan (AI) bakal menggantikan pekerjaan lepasan TVET, remaja itu berkata pandangan tersebut perlu diperbetulkan kerana setiap pembangunan teknologi baharu memerlukan tenaga mahir untuk membina, menyelenggara dan mengajarnya.
“AI dan teknologi sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Namun, untuk membangunkan AI tetap memerlukan tenaga mahir. Jadi, golongan lepasan TVET yang berperanan menjadi tenaga mahir untuk memastikan teknologi itu dapat berfungsi dengan berkesan,” katanya.
Sementara itu, penuntut TVET semester lima Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Automotif (Penyelenggaraan) di UniKL-Malaysia France Institute (UniKL MFI) Nur Lisa Jasni, 22, berkata TVET turut memberi peluang kepada wanita untuk menceburi bidang kemahiran automotif yang lazimnya didominasi lelaki.
“Memang sedikit mencabar, terutamanya untuk wanita seperti saya memandangkan kami perlu sentiasa mengendali komponen berat atau membuka skru yang ketat.
“Namun dengan adanya peluang pendidikan seperti ini ditambah dengan minat lama-kelamaan semuanya menjadi mudah apabila kita sudah biasa dan tahu teknik yang betul,” katanya.
Nur Lisa berkata selain latihan pratikal dan teori, institusi itu turut menekankan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi membiasakan pelajar dengan persekitaran kerja sebenar serta bertindak secara lebih berdisiplin dan berhati-hati semasa menjalankan tugasan.
Mengulas masa depan bidang automotif, Nur Lisa berkata bidang itu akan sentiasa berkembang pesat, sebagai contoh kehadiran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia telah membuka peluang pekerjaan baharu serta memperluas kemahiran tenaga kerja dalam bidang berteknologi tinggi.
“Bagi mereka yang baru sahaja menduduki SPM atau masih bersekolah, jangan ragu-ragu untuk pilih TVET sebab bukan sahaja anda mempunyai peluang pekerjaan, malah dengan menambah kemahiran insya-Allah lebih mudah untuk kita berada pada tahap tertinggi dalam kerjaya,” katanya.
Bagi memperkasakan pembangunan tenaga kerja mahir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) pada September 2023 yang menyasarkan transformasi menyeluruh sektor perindustrian negara.
Menerusi NIMP 2030, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan nilai tambah sektor pembuatan sebanyak RM587.5 bilion, pewujudan 3.3 juta peluang pekerjaan serta peningkatan gaji median kepada RM4,510 menjelang 2030.
NIMP 2030 mencatat pencapaian awal yang menggalakkan dengan nilai tambah sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebanyak RM4.2 bilion serta pertambahan kira-kira 200,000 peluang pekerjaan setakat suku kedua 2024.
-- BERNAMA
