EKONOMI

TEAMSTAR BHD SASAR IPO KUMPUL DANA BERJUMLAH RM34.32 JUTA

27/01/2026 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Teamstar Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 25 Feb, 2026, menyasarkan untuk mengumpul sejumlah RM34.32 juta menerusi langkah tawaran awam permulaan (IPO).

Syarikat pegangan pelaburan itu berkata dana yang terkumpul itu akan diperuntukkan bagi membuka premis runcit serta gudang baharu (RM23.21 juta), keperluan modal kerja (RM4.65 juta) serta pembayaran balik pinjaman yang berjumlah RM1.46 juta.

Sebanyak RM5 juta digunakan bagi tujuan menampung yuran dan perbelanjaan berkaitan dengan penyenaraian IPO itu.

Dalam kenyataannya, Teamstar berkata IPO itu merangkumi tawaran awam berjumlah 204 juta saham-saham biasa melibatkan terbitan awam 132 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan 72 juta saham sedia ada yang secara keseluruhannya mewakili 25.50 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan syarikat iaitu 800 juta saham biasa.

“Daripada 132 juta saham yang diterbitkan itu, sebanyak 40 juta akan ditawarkan menerusi permohonan untuk khalayak awam Malaysia manakala 92 juta saham terbitan ditawarkan melalui penempatan persendirian bagi pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Turut ditawarkan adalah penjualan 72 juta saham iaitu 16 juta saham tawaran akan disediakan untuk permohonan pengarah dan pekerja yang layak dalam Kumpulan Teamstar serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan,” katanya.

Di samping itu, sebanyak 48 juta saham tawaran pula diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan baki lapan juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti dan diluluskan oleh MITI.

Menurut kumpulan itu, berdasarkan terbitan modal saham diperbesarkan sebanyak 800 juta saham dan harga IPO pada RM0.26 sesaham, Teamstar dijangka mempunyai anggaran awal modal pasaran sebanyak RM208 juta.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Lee Kueng berkata Teamstar menyasarkan untuk memperkukuh kehadiran di pasaran dengan memperluaskan rangkaian runcit di Malaysia menerusi pembukaan 10 cawangan tambahan, khususnya di Johor, Kedah dan Pulau Pinang serta Sabah dan Sarawak.

“Selain daripada premis runcit, kegiatan perniagaan kami turut disokong oleh dua kilang serta sembilan gudang di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Tempoh permohonan bagi IPO Teamstar dibuka hari ini dan berakhir jam 5 petang pada 9 Feb, 2026.

TA Securities Holdings Bhd berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan