AM

DAKWAAN JURUTERA PAKAR TEMPATAN TIDAK DIIKTIRAF TIDAK BERASAS - NANTA

27/01/2026 12:06 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Dakwaan bahawa jurutera pakar tempatan tidak diiktiraf sebagai profesional kerana kononnya ketiadaan modul kepakaran tersusun atau agensi pengiktirafan khusus, sehingga menjejaskan kerjaya adalah tidak tepat dan tidak berasas.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) yang ditubuhkan di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138) bertanggungjawab mengawal selia, mendaftar dan mengiktiraf Jurutera Profesional.

"Laluan ke arah pengiktirafan ini adalah jelas, berstruktur dan telus melalui Peperiksaan Penilaian Profesional (PAE). Selain itu, LJM telah sekian lama melaksanakan penilaian berasaskan hasil yang meliputi 30 disiplin kejuruteraan.

"Oleh itu, jurutera profesional tempatan diiktiraf secara sah dan setara dengan piawaian global, termasuk bidang kejuruteraan baharu," katanya ketika merasmikan Perjumpaan LJM bersama Institusi dan Persatuan Kejuruteraan Malaysia 2026 dan pelancaran Pelan Strategik LJM 2026-2030 di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua LJM Datuk Seri Ir Roslan Ismail.

Nanta berkata setiap jurutera yang terlibat dalam pembangunan negara wajib berdaftar dengan LJM dan pendaftaran itu dijadikan syarat utama pengambilan kerja dalam bidang itu serta mandatori bagi setiap pengamal profesion kejuruteraan.

Sehubungan itu, beliau berkata majikan sama ada di sektor awam mahupun swasta wajib menjadikan pendaftaran dengan LJM sebagai syarat utama kepada individu yang ingin memohon pekerjaan dalam bidang kejuruteraan.

"LJM adalah satu-satunya badan berkanun yang mengiktiraf profesion kejuruteraan, termasuk jurutera pakar dan juga mengakreditasi program kejuruteraan di peringkat diploma dan ijazah bagi menjamin kualiti sejak awal.

"Semua langkah ini diwujudkan untuk melindungi keselamatan dan kepentingan rakyat, kerana jurutera adalah jentera utama pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata LJM juga telah mendaftarkan lebih 290,000 pengamal kejuruteraan dalam pelbagai kategori sehingga kini namun masih terdapat pengamal profesion kejuruteraan yang dipercayai belum berdaftar.

Selain itu, Nanta berkata kerajaan sedang memperhalusi pindaan terhadap Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138) bagi memperkukuh penguatkuasaan LJM.

"Pindaan ini adalah untuk memperkukuh kuasa kawal selia LJM demi memastikan pematuhan bagi melindungi kepentingan awam. Saya berharap pindaan penting ini dapat diluluskan dalam masa terdekat," katanya.

Mengenai pelancaran Pelan Strategik LJM 2026-2030, Nanta berkata ia menetapkan hala tuju kejuruteraan negara melalui empat teras utama iaitu bakat, tadbir urus, pengiktirafan dan inovasi selaras dengan Pelan Strategik Organisasi KKR 2026–2030 untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing industri melalui pembangunan modal insan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan