Daripada Farah Najihah Zuraimi
NAKHON RATCHASIMA, 27 Jan (Bernama) -- Penutupan rasmi Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025 malam tadi, menterjemahkan indikasi jelas prestasi atlet negara sepanjang temasya ini yang meletakkan Malaysia dalam kelompok teratas persaingan serantau, hasil gabungan pelaksanaan sistematik, disiplin tinggi dan perancangan jangka panjang.
Kontinjen negara menutup gelanggang dengan kutipan 201 pingat keseluruhan, terdiri daripada 64 emas, 64 perak dan 73 gangsa daripada 17 sukan disertai, sekali gus melepasi sasaran 55 emas dan 181 pingat seperti ditetapkan sebelum ini.
Lonjakan ke kedudukan ketiga keseluruhan menandakan kemajuan signifikan berbanding edisi lepas dalam landskap persaingan yang menyaksikan Thailand muncul juara selepas mengutip 486 pingat (175-155-156) manakala Indonesia kedua dengan 392 pingat (135-143-114).
Olahraga muncul sebagai tulang belakang kejayaan kontinjen Malaysia apabila menyumbang 20 emas, 22 perak dan 23 gangsa, sekali gus mengesahkan cabang itu terus menjadi nadi utama kekuatan Malaysia di peringkat serantau.
Tumpuan terarah kepada Ivan Jovic Suah yang mencipta detik bersejarah apabila menewaskan pemenang pingat Paralimpik Paris negara, Eddy Bernard untuk mendominasi acara 100 meter (m) T44 dan 200m T44 sebelum melengkapkan hatrik emas peribadi menerusi 400m T44/T63.
Kejayaan itu diperkukuh oleh pemenang pingat emas Paralimpik, Ziyad Zolkefli, 35, yang sekali lagi menghadiahkan emas menerusi acara lontar peluru F20, sekali gus membuktikan pengalaman serta ketajaman teknikal masih relevan dalam persaingan yang semakin padat dengan kehadiran generasi baharu.
Di kolam renang pula, atlet negara menyumbang 13 emas, 20 perak dan 22 gangsa dengan Abd Halim Mohammad muncul atlet paling dominan membutirkan lima emas dan masing-masing satu perak dan gangsa.
Kekuatan menyeluruh kontinjen turut diterjemahkan dalam acara berbasikal yang menyumbang tujuh emas diikuti tenpin boling dengan enam emas, manakala powerlifting membutirkan lima emas.
Emas turut diperoleh dalam acara ping pong dengan empat emas, berbasikal lebuh raya (dua), boccia (dua) dan lawan pedang (dua).
Badminton, tenis kerusi roda dan menembak turut mengekalkan momentum kontinjen apabila masing-masing menyumbang satu emas penting kepada keseluruhan kutipan negara.
Walaupun tanpa emas, sumbangan pingat daripada acara memanah, bola sepak, bola keranjang kerusi roda, catur dan judo melengkapkan gambaran sebuah kontinjen yang berfungsi sebagai satu ekosistem, bukan bergantung kepada satu atau dua cabang semata-mata.
Kejayaan ini menuntut kesinambungan persiapan menjelang kalendar besar yang menanti, bermula Sukan Komanwel 2026, diikuti Sukan Para Asia 2026 sebelum cabaran terbesar di pentas Paralimpik 2028 serta tanggungjawab sebagai tuan rumah APG 2027.
-- BERNAMA
