CYBERJAYA, 26 Jan (Bernama) -- Warga agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak seharusnya mudah berpuas hati dengan pencapaian sedia ada sebaliknya perlu terus memperbaiki prestasi, meningkatkan kecekapan dan integriti sebagai teras penyampaian perkhidmatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun negara mencatat pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dan menunjukkan petanda positif termasuk pengukuhan ringgit, pencapaian itu belum memadai untuk mengangkat martabat serta kedudukan Malaysia ke tahap lebih tinggi.
"Saya tahu dan insaf bahawa kita punya keupayaan yang lebih baik... ramai yang berkhidmat dengan cemerlang tetapi masih ada bibit-bibit bobrok yang merosakkan integriti kita.
"Masih ada ruang yang harus kita perbaiki... masih ada tenaga yang mencemarkan bukan sahaja imej tetapi mengambil kesempatan merosakkan dan melemahkan tahap pencapaian yang baik yang mampu kita capai," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-44 Tahun 2026 di sini hari ini.
Beliau juga berkata perubahan sikap, kesediaan menerima hakikat baharu dan semangat untuk mempertingkat mutu kerja adalah prasyarat penting bagi memastikan Malaysia terus maju dalam era ekonomi kompetitif.
“Sekiranya negara mahu mencatat pertumbuhan yang lebih meyakinkan dan mencapai kemajuan dalam pelbagai lapangan khususnya ekonomi, ia menuntut perubahan sikap yang lebih positif serta kesediaan menerima kenyataan baharu selain tahap kecekapan dan integriti yang lebih kukuh," katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata sebagai individu yang diberi amanah untuk berkhidmat kepada negara, setiap anggota perkhidmatan awam perlu sentiasa menyedari bahawa ruang bagi penambahbaikan sentiasa wujud.
Beliau berkata pengajaran daripada hadis Nabi Muhammad SAW mengenai kewajipan melakukan sesuatu dengan sebaik-baiknya harus dijadikan pegangan dalam meningkatkan kecekapan dan prestasi kerja.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi penguat kuasa khususnya JKDM atas kejayaan cemerlang yang dicapai pada tahun lepas.
Untuk rekod, JKDM mencatat prestasi cemerlang apabila berjaya mengutip hasil sebanyak RM76.18 bilion pada 2025 melepasi sasaran awal RM67.25 bilion yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.
-- BERNAMA
