KOTA BHARU, 26 Jan (Bernama) -- “Kami bukan sahaja kehilangan seorang nenek malah individu penting yang menjadi tonggak menyatukan keluarga,” menurut Ahmad Bukhari Anton, 33, cucu kepada wanita warga emas yang maut selepas kediamannya musnah dalam kebakaran di Jalan Tok Guru di sini semalam.
Ahmad Bukhari berkata neneknya Allahyarham Fatimah Mat Said, 89, yang pernah berkerja sebagai tukang masak di Istana Pahang, amat disayangi oleh setiap ahli keluarga dan rumah yang musnah terbakar itu adalah tempat mereka sekeluarga berkumpul setiap kali hari raya.
“Selepas ini kami semua pasti akan merindui nenek, terutama aroma masakan ayam kurma hasil air tangannya,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Terdahulu, jenazah warga emas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Merbau kira-kira 10 pagi tadi dengan dihadiri lebih 50 ahli keluarga dan kenalan.
Mengulas insiden tragis itu, Ahmad Bukhari yang menetap di Pengkalan Chepa berkata dia menerima berita mengenai kebakaran itu melalui panggilan telefon daripada isterinya ketika berada di tempat kerja.
“Saya segera ke rumah nenek dan setiba di lokasi, saya melihat anggota bomba sedang bertungkus-lumus memadamkan api. Luluh hati saya apabila nenek ditemukan di bawah runtuhan zink dan telah meninggal dunia,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan seorang warga emas berusia 89 tahun, Fatimah Mat Said, ditemukan rentung selepas rumah kediamannya di Jalan Tok Guru, di sini, musnah terbakar.
-- BERNAMA
