AM

BANYAK NEGARA TURUNKAN NASIHAT PERJALANAN KE PANTAI TIMUR SABAH KEPADA TAHAP DUA - MOHAMAD

26/01/2026 01:44 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Banyak negara yang sebelum ini mengeluarkan nasihat perjalanan tahap tiga ke kawasan pantai timur Sabah telah menurunkan pengkelasan kepada tahap dua, menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata perkembangan positif itu mencerminkan pemulihan keyakinan negara luar terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan, yang sebelum ini sering dikaitkan dengan kes penculikan untuk wang tebusan.

“Sebelum ini, kira-kira 25 negara mengeluarkan nasihat perjalanan tahap tiga, yang membawa maksud menasihatkan rakyat mereka supaya tidak berkunjung ke Sabah, susulan kes penculikan dan wang tebusan.

“Namun hasil usaha kerajaan menerusi kawalan keselamatan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia serta Kementerian Pertahanan, tiada lagi insiden penculikan bagi tujuan mendapatkan wang tebusan dilaporkan sejak empat hingga lima tahun kebelakangan ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini..

Mohamad menjawab soalan Datuk Verdon Bahanda (Bebas-Kudat) mengenai usaha kerajaan untuk menurunkan status nasihat perjalanan ke pantai timur Sabah oleh negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan bagi meningkatkan produktiviti serta ketibaan pelancong ke negeri itu.

Beliau berkata perkembangan itu turut memberi impak positif kepada sektor pelancongan di kawasan berkenaan, dengan peningkatan kemasukan pelancong asing sehingga 18.9 peratus, khususnya dari Jepun dan Korea Selatan.

Menjawab soalan tambahan Verdon mengenai usaha untuk menamatkan sepenuhnya nasihat perjalanan berkenaan, Mohamad berkata kerajaan melalui Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sentiasa berusaha meningkatkan keyakinan negara terlibat terhadap tahap keselamatan di pantai timur Sabah.

“Apa sahaja peluang perbincangan dalam hubungan dua hala atau pelbagai hala, kita bentangkan kepada mereka bahawa keadaan di timur Sabah kini jauh lebih selamat dan tidak lagi seperti dahulu yang sering dikaitkan dengan ancaman lanun.

“Kita juga mengambil inisiatif membawa perwakilan asing yang berpangkalan di Kuala Lumpur, khususnya dari negara yang mengeluarkan nasihat perjalanan, supaya mereka dapat melihat sendiri bahawa keadaan keselamatan di kawasan tersebut telah bertambah baik,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan