Oleh Anasathia Jenis
SRI AMAN, 26 Jan (Bernama) -- Setiap kali musim buah menjelang, Pekan Lachau yang terletak kira-kira 140 kilometer dari bandar raya Kuching pasti berubah wajah, seolah-olah ‘hidup’ semula dengan denyut nadi desa yang mengasyikkan.
Pekan kecil di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo itu bertukar meriah, memanggil pengguna jalan raya untuk singgah berehat, tidak ubah seperti kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya utama Semenanjung Malaysia, namun dengan sentuhan rasa kampung yang autentik.
Deretan kaki lima di hadapan kedai yang lazimnya lengang mula dipenuhi warna-warni hasil bumi tempatan seperti rambutan, langsat, sayur-sayuran hutan serta buah dabai berkilat hitam yang menjadi kebanggaan Sarawak.
Aroma durian yang kuat bercampur bau tanah basah dan daun segar pula mewujudkan suasana yang sukar dilupakan, terutama bagi mereka yang singgah selepas menempuh perjalanan jauh.
Bagi peniaga kecil, musim buah bukan sekadar tempoh berniaga, tetapi masa menuai hasil titik peluh yang diusahakan sepanjang tahun.
Kebanyakan buah-buahan yang dijual di Pekan Lachau diperoleh terus dari kebun penduduk sekitar Sri Aman, ada antaranya dipetik seawal subuh sebelum dibawa menggunakan motosikal atau kenderaan pacuan empat roda dan disusun kemas di gerai penjaja serta pasar tamu.
Kelvin Jugol, 68, antara pengunjung setia yang tidak pernah melepaskan peluang singgah setiap kali musim buah tiba. Baginya, Pekan Lachau ialah lokasi terbaik untuk mendapatkan hasil tempatan segar pada harga berpatutan.
“Buah di sini lain sikit. Kita tahu ia datang terus dari kebun, bukan lama disimpan. Bila musim dabai atau rambutan, memang susah nak tahan diri,” katanya sambil memilih buah untuk dibawa pulang kepada keluarga dan jiran.
Suasana meriah itu turut memberi pengalaman bermakna kepada pengunjung seperti guru, Easter Sering, 52, yang membawa anak-anaknya menyusuri pasar tamu.
“Anak-anak boleh lihat sendiri dari mana makanan datang. Mereka belajar menghargai kerja petani dan peniaga kecil,” katanya.
Easter berkata musim buah di Pekan Lachau bukan sekadar urusan jual beli, sebaliknya menjadi ruang pembelajaran hidup untuk generasi muda mengenali hasil hutan dan pertanian sejak usia kecil.
Bagi pengguna jalan raya seperti Jurina Johari, 56, singgah di pekan itu ketika musim buah memberi kepuasan tersendiri selepas perjalanan panjang.
“Rasa penat terus hilang bila nampak buah-buahan segar tersusun. Kami singgah bukan hanya untuk berehat, tetapi juga untuk bawa pulang rasa kampung,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati buah-buahan tempatan seperti dabai, durian, rambutan, langsat dan engkala dijual pada harga antara RM3 hingga RM20 sekilogram, bergantung kepada musim dan bekalan.
Selain buah-buahan, pengunjung turut mendapatkan pelbagai jenis sayur-sayuran hutan, ikan air tawar dari Batang Ai seperti tilapia, selain ikan salai dan pekasam yang sukar ditemui di bandar, semuanya pada harga yang berpatutan.
Namun di sebalik kemeriahan musim buah, peniaga kecil dan pengguna berharap kemudahan awam seperti tandas, tempat letak kenderaan serta papan tanda arah dapat terus dinaik taraf bagi menjamin keselesaan pengunjung, terutama pada hujung minggu yang sering sesak.
Dengan aliran trafik yang semakin meningkat susulan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Pekan Lachau kini bukan lagi sekadar hentian sementara.
Setiap musim buah, pekan ini menjadi titik pertemuan petani, peniaga dan pengembara -- tempat hasil bumi bertukar tangan, cerita dikongsi, dan perjalanan diteruskan dengan kenderaan yang sarat, bukan sahaja dengan buah-buahan, tetapi juga kenangan.
-- BERNAMA
