AM

LEBIH 2.5 JUTA DIJANGKA KUNJUNGI BATU CAVES SEMPENA THAIPUSAM

25/01/2026 11:21 AM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Lebih 2.5 juta orang dijangka mengunjungi Batu Caves sempena sambutan Thaipusam tahun ini, meningkat berbanding tahun lepas berikutan hujung minggu dan cuti umum yang panjang.

Pemegang Amanah Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam Datuk N. Sivakumar berkata jumlah itu meliputi penganut Hindu, pelancong dari dalam dan luar negara serta pelawat awam yang hadir ke kawasan Batu Caves sepanjang tempoh sambutan.

“Tahun lepas kehadiran mencecah 2.5 juta orang dalam tempoh empat hingga tujuh hari. Tahun ini, kami menjangkakan jumlah yang lebih tinggi berikutan cuti umum panjang,” katanya kepada Bernama.

Thaipusam pada tahun ini jatuh pada 1 Feb yang juga Hari Wilayah Persekutuan. 

Beliau berkata pihak pengurusan kuil memberikan tumpuan khusus kepada aspek keselamatan dan kebersihan bagi memastikan kelancaran sambutan selaras dengan status Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sivakumar berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan mengendalikan sepenuhnya aspek keselamatan termasuk pengawalan perarakan serta pergerakan pengunjung.

“Keselamatan dikendalikan sepenuhnya oleh PDRM, melibatkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan Dang Wangi dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, manakala kawasan Batu Caves di Selangor akan diselia oleh IPD Gombak dan disokong IPK Selangor,” katanya.

Mengenai isu kebersihan, beliau berkata pengurusan menekankan kepentingan kesedaran dalam kalangan pengunjung terutama pembuangan sampah dan pengurusan kasut yang menjadi masalah berulang.

“Tahun lepas, hampir tiga tan kasut terpaksa dilupuskan. Kami memahami keperluan penganut untuk menanggalkan kasut ketika beribadat, namun pengunjung digalakkan menyimpan kasut di dalam kenderaan atau menggunakan beg kain bagi mengurangkan lambakan sampah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerja-kerja menaik taraf Patung Dewa Murugan yang kini berusia 20 tahun telah siap dilaksanakan dengan penambahbaikan sistem pencahayaan dan penyelenggaraan, seterusnya menjadi antara tarikan utama sambutan tahun ini.

“Patung itu telah dibina pada 2006 dan tahun ini kerja-kerja penyelenggaraan serta pemasangan lampu tambahan dilakukan. Ia bukan sahaja menjadi tarikan kepada penganut, malah pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan