AM

SEKOLAH RINTIS BANGSA JOHOR: TABLET IPAD ALTERNATIF BUKU TEKS, ATASI ISU BEG SEKOLAH BERAT

25/01/2026 11:08 AM

 

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen dan Hasnah Jusid

Pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang bermula tahun lepas mula menampakkan impak positif menerusi pendekatan pendidikan digital yang diterapkan. Laporan ini adalah bahagian pertama daripada lima siri berita yang mengupas pencapaian, pelaksanaan serta hala tuju SRBJ di Johor.

 

JOHOR BAHRU, 25 Jan (Bernama) -- Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang mengambil pendekatan pembelajaran berasaskan digital bukan sahaja menyokong dasar pendigitalan pendidikan negara, malah berupaya mengatasi isu beg sekolah berat dalam kalangan murid.

Sebanyak 2,500 tablet iPad dibekalkan kepada murid tahun empat, lima dan enam di empat SRBJ dengan kemudahan Internet berkelajuan tinggi, selain fasiliti serba moden termasuk penggunaan papan pintar (smart board) di setiap kelas.

Ibu bapa turut berkongsi pandangan positif apabila mereka melihat penggunaan tablet berupaya menjadi alternatif pembelajaran yang lebih praktikal, selain membantu mengurangkan beban fizikal anak-anak ke sekolah.

Danial Rahmat, 38, berkata penggunaan peranti seumpama itu membuatkan proses pembelajaran anaknya Damian Mikhael,12, dan Diandra Marsya,10, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, lebih teratur tanpa perlu membawa banyak buku teks atau latihan setiap hari.

“Nota guru dan kerja rumah boleh dibuat terus dalam tablet, saya juga melihat langkah ini boleh membantu menjimatkan kos (pembelian buku) untuk masa akan datang, sekiranya digunakan secara menyeluruh,” katanya kepada Bernama.

Fateha Novianti Azani, 37, pula berkata meski penggunaan tablet belum diterapkan bagi murid tahap satu seperti anaknya Dhia Raisha Mohd Ediesharil, 9, beliau melihat keberkesanan peranti tersebut mampu membawa kepada perubahan kepada ekosistem pendidikan negara.

“Murid tidak perlu lagi bawa buku tebal setiap hari sebab satu tablet boleh gantikan banyak buku teks dan latihan, peranti ini juga boleh dijadikan sebagai ‘buku’ rujukan yang boleh diakses di mana-mana sahaja,” katanya.

Pendekatan itu, turut mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih interaktif apabila kemudahan teknologi boleh diakses dengan pantas hanya pada hujung jari, selari dengan keperluan pembelajaran alaf baharu.

Inisiatif tersebut sekali gus mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan negeri Johor dalam membudayakan pendidikan digital yang menyokong dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), apabila diterjemahkan secara praktikal di peringkat sekolah.

Sementara itu, Guru Bahasa Inggeris Nabihah Razali berkata dengan iPad, penggunaan Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) yang dibangunkan KPM dapat digunakan secara optimum di dalam kelas, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap buku teks.

DELIMa yang merupakan sebuah pelantar pembelajaran digital, menyediakan persekitaran pembelajaran inklusif dan dinamik untuk semua guru dan murid sekolah, termasuk akses buku teks digital serta pelbagai aplikasi pembelajaran.

Bagaimanapun, beliau yang telah 18 tahun berkhidmat di SK Tasek Utara berkata penggunaan teknologi di SRBJ dilaksanakan secara seimbang dengan kaedah pembelajaran konvensional, apabila buku teks dan buku latihan masih digunakan bergantung kepada tugasan yang diberikan.

“Ini kerana mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris masih memerlukan kemahiran menulis dan kami tidak mahu mereka kehilangan kemahiran tersebut,” katanya.

Guru Sains dan Matematik Nur Hidayah Jamil pula berkata pendekatan yang ditekankan di sekolah berkenaan telah memperkasakan kemahiran penggunaan teknologi dalam kalangan murid.

“Sebanyak 80 peratus murid kelas saya mampu mengendalikan peranti berkenaan dengan bimbingan kita sebagai fasilitator. Justeru, selain mampu mengatasi isu beg sekolah berat, kita dapat memperkasakan usaha membudayakan pendidikan digital,” katanya yang telah berkhidmat selama 16 tahun di sekolah itu.

Isu beg berat melibatkan murid antara perkara yang sering dibangkitkan ibu bapa sejak sekian lama dan isu tersebut baru-baru ini dilihat masih hangat diperkatakan menerusi hantaran media sosial.

KPM sebelum ini dipetik sebagai berkata usaha bagi mengatasi isu berkenaan turut memerlukan kerjasama semua pihak, di samping pelbagai usaha dan pendekatan diambil kementerian itu termasuk menukar buku teks fizikal kepada digital.

SRBJ yang juga cetusan ilham Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dilaksanakan di empat sekolah terpilih di daerah Johor Bahru, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara, SK Tasek Utara, SMK Seri Kota Puteri 2 dan SK Seri Kota Puteri 4, dengan kesemuanya turut menerima pengiktirafan sebagai Apple Distinguished School.

Menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, pelaksanaannya memberi penekanan penguasaan Bahasa Inggeris tanpa meminggirkan Bahasa Melayu selain mengukuhkan kemahiran STEM, pembangunan sahsiah serta kebolehpasaran murid dan pentaksiran kompetensi setara penilaian bertaraf antarabangsa dan selari dengan dasar KPM.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata SRBJ turut melibatkan projek naik taraf di sekolah terlibat dalam membina ekosistem pendidikan bertaraf antarabangsa, moden dan inklusif.

Secara keseluruhan, projek SRBJ melibatkan peruntukan RM54 juta, dengan RM31.22 juta diperuntukkan bagi Fasa Satu dan RM22.78 juta bagi Fasa Dua, merangkumi kerja naik taraf infrastruktur serta pelaksanaan modul pendidikan berimpak tinggi.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan