JENAYAH & MAHKAMAH

BOM PERANG DUNIA KEDUA DITEMUKAN DALAM KEBUN DI JASIN

24/01/2026 09:51 AM

JASIN, 24 Jan (Bernama) -- Sebutir bom aerial jenis Unexploded Ordnance (UXO) yang digunakan pada Perang Dunia Kedua ditemukan di sebuah kebun di Felda Bukit Senggeh, Nyalas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin Supt Lee Robert berkata bom berkenaan ditemukan oleh seorang pekerja kebun lelaki berusia 53 tahun ketika sedang melakukan proses penanaman semula pokok kelapa sawit di kebun berkenaan. 

Beliau berkata pekebun berkenaan kemudian membuat laporan berkaitan penemuan bom berukuran panjang 101.6 sentimeter (cm) dan diameter 66.04 cm itu Balai Polis Nyalas pada 12 tengah hari semalam.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin mengesahkan objek berkenaan ialah bom jenis UXO Aerial Bomb seberat 226 kilogram yang telah berkarat tetapi masih aktif.

"Susulan penemuan itu, operasi persiapan memusnahkan bom berkenaan dilakukan di kebun terlibat pada 2.45 petang sebelum bahan letupan itu dimusnahkan pada 6 petang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Operasi itu dijalankan melalui kaedah pemusnahan secara low order technic (body) dan high order technic (booster).

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat dan ketenteraman awam.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan