JENAYAH & MAHKAMAH

BUANG PUNTUNG ROKOK, BOTOL MINUMAN, WANITA INDONESIA DIDENDA DAN DIPERINTAH JALANI KHIDMAT MASYARAKAT

23/01/2026 01:20 PM

JOHOR BAHRU, 23 Jan (Bernama) -- Seorang wanita warga Indonesia hari ini didenda RM500 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok dan botol minuman di tempat awam.

Kes itu adalah pendakwaan pertama di bawah Seksyen 77A Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Anita Lukman, 49, selaku orang kena saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.

Mengikut pertuduhan, OKS didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok dan botol minuman di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud tersebut di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut pada 12.41 tengah malam 1 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Subseksyen 77A(1) Akta 672 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 dan sebagai tambahan, boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah mahkamah.

Dalam rayuannya, OKS memohon hukuman ringan atas alasan dia ibu tunggal yang menanggung dua anak berusia lapan serta 15 tahun dan hanya datang ke Malaysia untuk membantu rakannya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM500 atau penjara 15 hari jika gagal membayar denda serta memerintahkan OKS menjalani khidmat masyarakat selama enam jam dengan kadar maksimum dua jam sehari dalam tempoh enam bulan, dan sekiranya gagal mematuhi perintah khidmat masyarakat itu OKS berdepan denda antara RM2,000 hingga RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SWCorp Siti Adora Rahtimin manakala OKS tidak diwakili peguam.

Di mahkamah sama, seorang lelaki warga Bangladesh iaitu Sultan MD, 28, didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di lokasi sama pada 1 Jan lepas.

Bagaimanapun, Sultan selaku OKS memohon supaya prosiding dikendalikan dalam Bahasa Bangladesh kerana tidak memahami Bahasa Melayu sebelum mahkamah menetapkan 28 Jan ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan