AM

RPN 2026-2035 MEMANUSIAKAN SISTEM PENDIDIKAN

23/01/2026 10:01 AM

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 yang dilancarkan pada Selasa lepas, dijangka memanusiakan sistem pendidikan Malaysia dengan meletakkan lebih penekanan kepada pembangunan pelajar secara holistik melangkaui pencapaian akademik. 

Timbalan Dekan (Penyelidikan) Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Prof Madya Dr Zuwati Hasim berkata rancangan pendidikan itu mencerminkan visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk “memberi jiwa” kepada pendidikan dengan memupuk pelajar yang seimbang akademik, kemahiran insani dan kemahiran hidup. 

Beliau berkata RPN itu akan menyokong pendidik dan ibu bapa menangani aspek kemanusiaan dalam pendidikan termasuk pembangunan emosi, membina keyakinan diri serta kemahiran komunikasi. 

“Apabila kita bercakap tentang memanusiakan pendidikan, ia berkaitan memberi jiwa kepada sistem. Kita mahu murid bukan hanya mempunyai pengetahuan akademik tetapi juga kemahiran insani dan kemahiran hidup yang akan mempersiapkan mereka untuk menghadapi kehidupan sebenar,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program The Nation di sini semalam. 

Zuwati berkata kemahiran komunikasi menjadi semakin penting kerana banyak kanak-kanak masa kini mengalami kesukaran dalam interaksi interpersonal disebabkan pendedahan berpanjangan kepada gajet digital dan teknologi. 

“Kami dapati banyak kanak-kanak berasa resah untuk bercakap dengan orang lain dan sering melabelkan diri sebagai introvert, menunjukkan mereka cenderung mengalihkan kekurangan itu kepada istilah tersebut.

“Tetapi perkara ini boleh diubah melalui pendedahan dan persekitaran pembelajaran yang betul. Dari sudut itu, rancangan pendidikan ini tepat pada masanya,” katanya. 

 Berhubung kaedah pengukuran pembelajaran tahun empat, Zuwati berkata beliau menjangkakan peralihan daripada penilaian berorientasikan peperiksaan kepada pentaksiran diagnostik dan formatif.

Beliau berkata penilaian seperti itu harus memberi tumpuan pada mengenal pasti kekuatan serta kelemahan pelajar, bukan penggredan atau perbandingan kerana matlamatnya ialah penambahbaikan dan bukan untuk kedudukan. 

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pelaksanaan yang berkesan memerlukan pertimbangan teliti terhadap cabaran sedia ada seperti saiz kelas yang besar, tahap literasi pelajar yang berbeza dan kesediaan guru. 

Zuwati berkata realiti itu boleh menjejaskan sejauh mana pendekatan formatif dan kemanusiaan dilaksanakan di sekolah, menjadikan penting untuk perancangan strategik, sokongan guru yang bersasar serta intervensi bilik darjah yang sesuai dilaksanakan.

Beliau berkata penilaian formatif seperti kerja projek, pembentangan dan tugasan berasaskan bilik darjah membolehkan pendidik menilai keyakinan, komunikasi dan kemahiran berfikir kritis pelajar yang sering diabaikan dalam peperiksaan sumatif tradisional yang memfokuskan kepada penghafalan dan gred.

“Jika kita melaksanakan pembelajaran berasaskan projek, pelajar diberi ruang untuk membentangkan idea mereka dan dari situ kita boleh menilai kemahiran komunikasi, keyakinan serta pemahaman,” katanya.

Zuwati berkata langkah intervensi harus diperkenalkan untuk menyokong peningkatan pelajar secara berperingkat. 

Selain itu, beliau menekankan kanak-kanak hari ini didedahkan kepada teknologi dari usia sangat muda yang secara signifikan mempengaruhi cara mereka belajar dan berkembang.

“Pembelajaran ialah tentang pendedahan. Kanak-kanak menyerap apa yang didedahkan kepada mereka dan kita mesti peka dengan apa yang diberikan. Masa skrin berlebihan boleh menjejaskan kemahiran komunikasi, fokus dan juga penglihatan mereka,” katanya. 

Beliau berkata RPN 2026-2035 memberi peluang untuk menyemak semula sistem pendidikan ke arah memupuk individu serba boleh yang bukan sahaja cemerlang pendidikan tetapi juga mempunyai daya tahan emosi dan kompeten dari aspek sosial. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan