KOTA KINABALU, 22 Jan (Bernama) -- Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Edgard D. Kagan, yang bakal mengakhiri tempoh perkhidmatannya di negara ini pada 16 Feb depan, berkesempatan mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah, negeri yang disifatkan mempunyai tempat cukup istimewa dalam hatinya.
Kagan, yang mula berkhidmat sebagai duta sejak Disember 2023 dan sebelum itu sebagai timbalan ketua perwakilan berkata beliau dan keluarganya mengumpul pelbagai kenangan indah ketika berada di negeri ini, daripada hidupan liar di Sandakan hingga keindahan pantai di Semporna.
“Saya dan keluarga telah menghabiskan masa lebih lima tahun di Malaysia...yang sebenarnya lebih lama berbanding pelbagai tempat yang pernah kami tinggal sebelum ini. Bersiap untuk meninggalkan negara ini sesuatu yang sangat menyentuh perasaan kami.
“Kami amat seronok berada di Malaysia. Antara perkara yang kami suka mengenai Malaysia ialah Sabah...bagi saya secara profesional, usaha memperkukuh hubungan AS dengan Sabah merupakan sesuatu yang sangat saya banggakan,” katanya ketika sesi ramah mesra bersama media tempatan di sini hari ini.
Bagaimanapun, di sebalik pengalaman melawat ke pelbagai tempat, Kagan mengakui satu perkara yang beliau terkilan sepanjang tempoh perkhidmatan di Malaysia ialah terlepas peluang mendaki Gunung Kinabalu.
“Malangnya, satu perkara yang saya kesalkan ialah saya meninggalkan Malaysia tanpa sempat mendaki Gunung Kinabalu. Saya tidak berpeluang melakukannya ketika berkhidmat sebagai duta,” katanya sambil berseloroh.
Begitupun, Kagan dengan pantas berkata kegagalan itu telah memberi alasan kukuh untuk beliau kembali semula ke Negeri di Bawah Bayu itu.
“Saya bercadang untuk kembali sebagai rakyat biasa, sebagai pelancong dan melakukannya,” katanya sambil mengulangi hasratnya untuk merasai pengalaman mendaki Gunung Kinabalu yang terlepas semasa sedang berkhidmat.
Dari segi keselamatan pula, beliau mengakui banyak kemajuan dicapai di kawasan pantai timur Sabah selepas peristiwa pencerobohan Lahad Datu pada 2013 dan menyifatkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sebagai satu kejayaan besar.
Beliau berkata integrasi pelbagai aset keselamatan dan kerajaan di zon tersebut telah membawa perbezaan ketara, dengan situasi keselamatan menunjukkan bertambah baik.
“Saya sendiri telah menyaksikannya, begitu juga rakan-rakan saya di kedutaan… saya percaya situasi keselamatan telah bertambah baik dan saya rasa kita akan menyampaikan perkara ini kepada rakyat AS,” katanya.
Kagan juga yakin komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan Malaysia dan Sabah dalam menangani isu keselamatan telah membuka jalan kepada hasil yang positif.
-- BERNAMA
