EKONOMI

KEPUTUSAN BNM KEKALKAN OPR SEJAJAR DENGAN ASAS EKONOMI - AHLI EKONOMI

22/01/2026 05:49 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras sedia ada adalah wajar memandangkan prospek pertumbuhan negara yang stabil dan keadaan inflasi yang boleh diurus, kata ahli ekonomi.

Bank pusat itu memutuskan untuk mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus semasa mesyuarat pertama daripada enam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk 2026 hari ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, keputusan MPC itu telah dijangka secara meluas dan selaras dengan konsensus pasaran.

Beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh bank pusat itu menunjukkan keyakinan terhadap prestasi ekonomi Malaysia, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 dijangka mencapai hujung atas julat unjuran rasmi iaitu antara empat peratus hingga 4.8 peratus, manakala momentum dijangka berterusan sehingga 2026.

“Pada 2026, momentum pertumbuhan ini dijangka berterusan, menunjukkan optimisme terhadap pertumbuhan tahun ini,” katanya sambil menambah MPC juga menyedari risiko yang wujud dari luar negara disebabkan oleh dasar-dasar perdagangan.

Mengenai inflasi, Mohd Afzanizam berkata MPC dilihat agak selesa dengan trajektori inflasi semasa dan menjangkakan ia kekal sederhana pada 2026.

“Secara keseluruhannya, mereka membuat kesimpulan paras OPR semasa adalah wajar untuk menyokong pertumbuhan dan mengekang risiko inflasi.

“Dengan kata lain, mereka dijangka mengekalkan OPR pada paras sedia ada dalam mesyuarat akan datang dan mungkin untuk sepanjang tahun ini,” katanya.

Mohd Afzanizam berpendapat tiada keperluan segera untuk BNM menurunkan OPR memandangkan prospek pertumbuhan ekonomi adalah agak munasabah.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata keputusan itu selaras dengan pandangan bahawa ekonomi Malaysia sedang beralih daripada fasa penstabilan kepada pembaharuan, dan bukannya memasuki fasa kitaran akhir atau ekonomi terlampau panas.

Beliau berkata pertumbuhan yang kekal melebihi empat peratus mencerminkan pengembangan dan pemerkasaan permintaan domestik yang meluas, disokong oleh kekuatan pasaran tenaga kerja, dasar pendapatan dan realisasi pelaburan, dan bukannya keadaan permintaan yang berlebihan.

 “Sebarang peningkatan inflasi dalam jangka masa terdekat sepatutnya ditafsirkan sebagai kesan normalisasi permintaan dan bukannya risiko inflasi berstruktur, terutamanya memandangkan kos pengeluaran, harga input global dan keadaan bekalan kekal stabil,” kata Mohd Sedek.

Beliau berkata dengan mengekalkan OPR pada paras sedia ada, ia dapat mengekalkan kebolehramalan dalam pembiayaan, menyokong pelaksanaan bagi pelaburan swasta dan awam berbilang tahun, serta mengelakkan kekangan pengantaran kredit yang terlalu awal ketika momentum pertumbuhan semakin kukuh.

Mohd Sedek turut menekankan bahawa pendirian semasa disokong oleh penampan luaran yang kukuh dan kredibiliti makro yang semakin baik, yang mengurangkan kerentanan terhadap turun naik kewangan global dan menyediakan ruang dasar untuk mengutamakan asas-asas domestik.

“Kami berpendapat pendirian monetari semasa adalah sejajar secara strategik dengan rangka kerja dalam tinjauan kami, ia menyokong ketahanan pertumbuhan, memperkukuh keyakinan dan memelihara pilihan dasar berbanding dengan memberi isyarat kepada peralihan ke arah normalisasi awal,” tambah beliau.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan