BUKIT MERTAJAM, 22 Jan (Bernama) -- Seorang pemuda yang kritikal akibat kemalangan jalan raya di Krabi, Thailand pada 31 Dis tahun lepas selamat dibawa pulang ke tanah air malam tadi dan kini meneruskan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini.
Muhammad Hazim Rafiq Hussain, 21, tiba di HSJ pada 11.30 malam selepas dipindahkan dari sebuah hospital di Krabi dengan pengiringan penuh pasukan perubatan menggunakan ambulans.
Pengerusi One Hope Charity & Welfare Datuk Chua Sui Hau berkata pihaknya segera menyelaras urusan rawatan perubatan, pelepasan hospital serta pemindahan rentas sempadan, selain melancarkan kutipan dana secara serentak sebaik kes itu dirujuk kepada pihaknya.
“Jumlah RM80,000 yang diperlukan bagi menampung kos perubatan dan proses pemindahan pemuda itu berjaya dikumpulkan sepenuhnya hasil sokongan masyarakat, sekali gus membolehkan urusan pemindahan dilaksanakan dalam tempoh yang singkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan ibu mangsa, Rozina@Norhafizah Abdul Rajad, 51, berkata anaknya ke Thailand pada 30 Dis bersama-sama lima rakan bagi aktiviti permotoran sebelum motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan pada keesokannya.
Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian muka dan hidung sehingga menyebabkan kesukaran bernafas, memerlukan pembedahan trakeostomi bagi menyalurkan oksigen terus ke paru-paru, walaupun kini dilaporkan stabil, dia masih memerlukan bantuan pernafasan serta rawatan susulan.
Sementara itu, Chua berkata sebaik tiba di sempadan, Rozina@Norhafizah yang menunggu dalam kebimbangan akhirnya dapat bertemu kembali dengan anaknya sebelum menaiki ambulans dan menggenggam erat tangan mangsa sepanjang perjalanan ke hospital.
-- BERNAMA
