AM

KERAJAAN TELITI NDI SEBAGAI ASAS BAHARU PEMBERIAN BANTUAN - MOHD SHAHAR

22/01/2026 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti penggunaan Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI)  sebagai asas baharu pemberian bantuan bagi mengurangkan risiko keciciran dan menjadikan ia lebih adil.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata ketika ini pemberian bantuan kerajaan umumnya masih berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dan pengelasan B40, M40 serta T20, namun penambahbaikan akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula tahun ini.

"Kerajaan berpendapat konsep NDI ini boleh diperkenalkan sebagai asas untuk pemberian bantuan bagi mengurangkan risiko keciciran dan bersifat lebih adil, dengan mengambil kira aspek kehidupan wajar serta berbeza mengikut lokasi dan demografi isi rumah," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai status semasa dan tarikh cadangan pelaksanaan pemberian bantuan berteraskan NDI dengan mengambil kira Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW).

Mohd Shahar berkata secara prinsip NDI dikira dengan menolak jumlah PAKW daripada pendapatan boleh guna (DI).

DI merujuk kepada jumlah pendapatan kasar isi rumah selepas ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), cukai, zakat dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata pelaksanaan konsep itu memerlukan masa kerana melibatkan penelitian lanjut serta ketersediaan data isi rumah yang lengkap bagi memastikan keberkesanannya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan