Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan dagangan Khamis dengan lebih positif susulan peningkatan semula Wall Street selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menarik balik ancamannya untuk menaikkan tarif ke atas beberapa ekonomi Kesatuan Eropah (EU) bagi isu membabitkan Greenland.
Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 9.39 mata kepada 1,715.20 berbanding penutupan Rabu pada paras 1,705.81.
Indeks utama itu dibuka menokok 8.08 mata kepada 1,713.89.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 259 berbanding 85, sebanyak 251 kaunter tidak berubah, 2,117 tidak diniagakan manakala sembilan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 131.47 juta saham bernilai RM93.80 juta.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ketidaktentuan berkaitan perdagangan yang mereda telah meningkatkan selera risiko jangka pendek di serata pasaran Asia, sekali gus menyokong momentum kenaikan Bursa Malaysia.
“Melangkaui petunjuk luaran, keupayaan Bursa Malaysia mengakhiri dagangan semalam dengan lebih tinggi walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar, hanya menyerlahkan pengurangan perbezaan jangka pendeknya dengan Wall Street.
“Ini menunjukkan pelabur lebih berdisiplin dengan aliran modal semakin menumpukan asas domestik, prospek pendapatan serta sokongan penilaian dan bukannya bertindak secara mekanikal terhadap risiko tajuk berita luar negara.
“Jika keadaan berterusan, ini akan mengukuhkan persepsi bahawa ketahanan pasaran semasa adalah bersifat struktur dan bukannya sekadar aliran sementara,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata tumpuan seterusnya adalah kepada keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia yang bermesyuarat hari ini.
“Walaupun jangkaan awal tiada perubahan pada kadar dasar semalaman (OPR), pengumuman sedemikian tetap penting dari sudut memberi isyarat. Pendirian dasar yang stabil akan terus mengukuhkan keyakinan dalam kalangan perniagaan dan pelabur, sekali gus mengukuhkan jangkaan kestabilan kadar faedah di tengah-tengah inflasi yang kian sederhana dan sokongan latar belakang pertumbuhan,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik 12 sen kepada RM11.22, Public Bank meraih empat sen kepada RM4.78, CIMB Group menokok dua sen kepada RM8.24, Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM13.88 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.46.
Dalam kalangan kaunter paling aktif, SMRT Holdings naik satu sen kepada 20 sen, OB Holdings menambah setengah sen kepada 20 sen, IJM Corp meningkat tujuh sen kepada RM2.56, syarikat yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE Guan Huat Sen Holdings susut satu sen kepada 24 sen dan Reneuco turun setengah sen kepada tiga sen.
Bagi kaunter paling untung, Nestle menambah 50 sen kepada RM116.50, Allianz Malaysia naik 34 sen kepada RM21.92m, United Plantations meraih 20 sen kepada RM30.50; Kuala Lumpur Kepong meningkat 18 sen kepada RM20.18 dan Malaysian Pacific Industries untung 16 sen kepada RM34.16.
Sebaliknya, kaunter paling rugi adalah Zhulian Corp yang turun tujuh sen kepada RM1.00, Mercury Industries susut 5.5 sen kepada 62 sen, MISC kehilangan empat sen kepada RM7.74, Tomei Consolidated turun empat sen kepada RM2.01 dan QL Resources berkurangan tiga sen kepada RM4.02.
Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas meningkat 66.94 mata kepada 12,631.89, Indeks FBM Top 100 naik 69.04 mata kepada 12,428.08, Indeks FBM Emas Shariah menambah 59.06 mata kepada 12,302.56, Indeks FBM Mid 70 melonjak 101.88 mata kepada 17,554.49 manakala Indeks FBM ACE meningkat 15.90 mata kepada 4,934.61.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 140.47 mata kepada 20,689.13, Indeks Tenaga menambah 2.02 mata kepada 772.70, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.95 mata kepada 176.02 manakala Indeks Perladangan kembali pulih dengan meraih 38.02 mata kepada 8,336.15.
-- BERNAMA
