JENAYAH & MAHKAMAH

KRONOLOGI KES SKANDAL RASUAH PEGAWAI TERTINGGI ATM

22/01/2026 10:41 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya Salwani Anuar hari ini didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur dengan empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Muhammad Hafizuddeain turut berdepan dengan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Rasuah Shah Alam, Selangor esok, manakala isterinya akan didakwa dengan satu pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.

Sementara itu, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Mohd Nizam Jaafar akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, di sini esok, membabitkan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT). 

Beliau juga akan menghadapi pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Berikut ialah kronologi melibatkan skandal rasuah pegawai tertinggi ATM:

22 Dis 2025: Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mendakwa dia mempunyai dokumen forensik yang menunjukkan aliran wang bulanan puluhan ribu ringgit ke dalam akaun seorang pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya.

23 Dis 2025: SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk menyiasat projek perolehan secara tender terbuka dan perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat sejak 2023.

24 Dis 2025: SPRM merakam keterangan tiga individu dan mempergiatkan siasatan dengan membuat semakan akaun disyaki terbabit rasuah perolehan.

27 Dis 2025: Muhammad Hafizuddeain diarahkan bercuti serta-merta untuk memberikan laluan kepada siasatan tanpa konflik kepentingan.

29 Dis 2025: SPRM menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia.

8 Jan 2026: Seorang bekas PTD dan dua isterinya direman bagi membantu siasatan kes rasuah.

10 Jan 2026: SPRM menyita aset mewah bernilai lebih RM2.2 juta susulan penggeledahan di sebuah kediaman di Pantai Timur, dipercayai milik isteri kedua kepada bekas pegawai tertinggi tentera darat.

14 Jan 2026: SPRM mengesahkan penahanan seorang lagi pegawai tertinggi ATM untuk membantu siasatan lanjut kes projek tender perolehan tentera darat.

15 Jan 2026: SPRM menahan dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM berikutan dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di TKAT dan MINDEF.

19 Jan 2026: SPRM menyerahkan kertas siasatan membabitkan bekas pegawai tertinggi ATM kepada pendakwa raya.

21 Jan 2026: SPRM mengesahkan telah mendapat izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa dua bekas pegawai tertinggi ATM.

22 Jan 2026: Muhammad Hafizuddeain dan isterinya Salwani Anuar didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur dengan empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan