AM

MPM BUKAN PEPERIKSAAN BERISIKO TINGGI, BANTU TINGKAT PENCAPAIAN MURID - FADHLINA

22/01/2026 10:09 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Matriks Pembelajaran Tahun Empat dan Tingkatan Tiga dilaksanakan secara berpusat, namun ia bukan sistem peperiksaan berisiko tinggi, sebaliknya bertujuan membuka ruang penambahbaikan bagi meningkatkan pencapaian murid.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM) bagi murid Tahun Empat bertujuan menilai pencapaian asas murid, khususnya dalam literasi, numerasi dan kemahiran asas saintifik, sekali gus membolehkan intervensi awal dirangka sebelum mereka melangkah ke peringkat seterusnya.

Beliau menjelaskan perkara itu susulan persoalan masyarakat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan MPM untuk murid Tahun Empat dan Tingkatan Tiga pada Selasa lepas.

“Matriks Pembelajaran Tahun 4 ialah pentaksiran bertujuan menilai pencapaian murid dari segi literasi, numerasi dan kemahiran asas saintifik, manakala Matriks Pembelajaran Tingkatan 3 pula menilai pencapaian murid dari aspek kemahiran bahasa, pengetahuan, aplikasi, penaakulan dan kemahiran proses saintifik,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

“Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 membolehkan pencapaian murid dinilai bagi merangka program intervensi literasi dan numerasi. Ia selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 serta kurikulum baharu persekolahan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan itu membolehkan ruang intervensi dilaksanakan semasa murid berada di Tahun Lima dan Tahun Enam, selain membantu persediaan mereka sebelum memasuki sekolah menengah serta menghadapi pentaksiran peringkat antarabangsa.

“Ini bermakna ruang intervensi boleh dilaksanakan semasa murid berada di Tahun 5 dan 6, sekali gus membantu persediaan mereka sebelum memasuki sekolah menengah dan menghadapi pentaksiran antarabangsa seperti SEA-PLM, TIMSS dan PISA,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan