AM

SALAM MEMPERINGATI ULANG TAHUN KE-123 TUNKU ABDUL RAHMAN DENGAN PROGRAM PERPADUAN

21/01/2026 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Yayasan Salam Malaysia (SALAM) akan menganjurkan Unity Explorace serta forum berkaitan kesejahteraan mental dan pengetahuan budaya pada 8 Feb ini bersempena ulang tahun kelahiran ke-123 Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

SALAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan program bertemakan perpaduan yang akan diadakan di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra (MTARP) di Jalan Dato Onn di sini, mencerminkan legasi berterusan bekas Perdana Menteri itu yang menekankan nilai muhibah, keharmonian dan keterangkuman, yang terus menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

“Acara explorace itu akan melibatkan hanya secara berjalan kaki, dengan soalan-soalan berasaskan latar belakang, pencapaian dan legasi Tunku Abdul Rahman yang dipaparkan di kawasan pameran dalam dan luar memorial. 

"Bagi mencerminkan nilai-nilai murni Tunku Abdul Rahman tentang perpaduan, setiap pasukan akan terdiri daripada peserta pelbagai kaum dalam kategori pelajar dan dewasa, bagi memastikan perpaduan dalam kepelbagaian dihayati, bukan sekadar diucapkan," menurut kenyataan itu.

SALAM turut mengumumkan bahawa Editor Projek Khas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), M. Govindnair yang juga terkenal sebagai pereka permainan pencarian harta karun tempatan, telah dilantik sebagai Clerk of the Course.

Selain Unity Explorace, SALAM juga akan menganjurkan forum yang menumpukan pada kesejahteraan mental, empati budaya dan kecerdasan budaya.

Forum ini akan menampilkan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia Datuk Dr Andrew Mohanraj dan ahli strategi serta penulis hubungan antara etnik yang berpangkalan di Melbourne Dr Jamel Kaur Singh.

“Forum ini akan meneroka strategi untuk menjaga kesejahteraan mental untuk komuniti yang lebih sihat dan meningkatkan produktiviti tempat kerja, memupuk pengetahuan budaya untuk memperkukuh perpaduan antara komuniti Malaysia yang pelbagai dan menggalakkan kesedaran tentang perpaduan nasional,” menurut kenyataan itu.

Kira-kira 400 peserta, yang terdiri daripada pelajar, profesional, ibu bapa, pegawai kerajaan dan pemimpin korporat, dijangka menghadiri program berkenaan.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi 019-3821930 atau 012-2075951.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan