KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) - Kee Ming Group Bhd menyasar mengumpulkan RM31.50 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO) menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 12 Februari, 2026.
Penyedia penyelesaian kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) itu dalam prospektusnya berkata daripada jumlah hasil terbitan awam sebanyak RM25.30 juta, RM13 juta akan diperuntukkan untuk modal kerja syarikat bagi projeknya pada masa depan.
Sementara itu, RM4 juta diperuntukkan untuk bon prestasi bagi projek syarikat pada masa depan, RM1.72 juta untuk pengembangan, RM1 juta bagi pembelian sistem perancangan sumber perusahaan, RM598,000 untuk modal kerja am dan baki RM5 juta untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah eksekutif bukan bebas dan pengarah urusan Kee Ming, Liew Kar Hoe berkata kumpulan itu akan menumpukan kepada tiga segmen teras pada 2026, terutamanya kerja-kerja saling sambung tenaga boleh baharu, pusat data dan projek reka bentuk dan binaan perindustrian.
"Kami melihat kemudahan saling sambung berfungsi sebagai perniagaan yang mampan dan akan bertahan selama bertahun-tahun, manakala pusat data merupakan industri yang memacu negara kita sekarang.
"(Walaupun) Kee Ming bukanlah syarikat yang dipacu pusat data, kami telah menjalankan projek pusat data, terutamanya untuk hiperskala, dan ini merupakan peluang yang baik untuk kami," katanya semasa pelancaran prospektus syarikat itu, di sini, hari ini.
Liew berkata kerja-kerja reka bentuk dan binaan M&E perindustrian untuk kilang, kemudahan semikonduktor dan hab logistik kekal sebagai segmen teras ketiga kumpulan itu, menyifatkannya sebagai sumber utama pendapatan Kee Ming, disokong oleh keupayaan reka bentuk dan kejuruteraan dalaman.
IPO Kee Ming melibatkan 82.86 juta saham biasa yang ditawarkan pada harga 38 sen sesaham, terdiri daripada terbitan awam sebanyak 66.63 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan sehingga 16.25 juta saham biasa sedia ada.
Menerusi terbitan awam, 16.25 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui undian dan 8.13 juta saham akan disediakan untuk pengarah, pekerja dan individu layak yang banyak menyumbang kepada kejayaan kumpulan melalui peruntukan borang merah jambu.
Sebanyak 40.63 juta saham lagi diperuntukkan bagi tawaran saham persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dan baki terbitan awam sebanyak 1.63 juta saham dan tawaran jualan sebanyak 16.25 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur terpilih melalui tawaran saham persendirian.
Selepas penyenaraian, modal saham syarikat yang diperbesarkan akan terdiri daripada 325 juta saham dengan permodalan pasaran sebanyak RM123.50 juta.
Permohonan untuk bahagian terbitan awam dibuka hari ini dan ditutup pada 5 petang, 27 Januari 2026.
TA Securities Bhd merupakan penasihat utama, penaja, ejen tawaran saham dan penaja jamin tunggal untuk tawaran saham ini, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd adalah penasihat kewangan.
-- BERNAMA
