SEREMBAN, 20 Jan (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan memberikan taklimat kepada Jemaah Menteri bekenaan cadangan penubuhan Jawatankuasa Keamanan bagi Gaza diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) pada mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.
Beliau bagaimanapun berkata Malaysia perlu berhati-hati kerana cadangan penubuhan jawatankuasa itu bukan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi AS dan rakan-rakannya.
“Pentingnya kita perlu berhati-hati. Kita tidak mahu nanti kita terperangkap di tengah jalan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Awal Persekolahan 976 penerima, di sini hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan berkata Malaysia mengambil pendirian berhati-hati, sebelum memberikan dukungan terhadap cadangan penubuhan Jawatankuasa Keamanan bagi Gaza selagi serangan rejim Zionis Israel belum dihentikan dan bantuan kemanusiaan tidak dijamin.
Beliau berkata walaupun Malaysia menyokong langkah-langkah untuk menjamin keamanan, beberapa isu telah membangkitkan kebimbangan terhadap komposisi dan mandat jawatankuasa berkenaan.
Ini termasuk berhubung kemungkinan penyertaan Perdana Menteri Israel dalam jawatankuasa itu dan penglibatan bekas Perdana Menteri United Kingdom Tony Blair, yang dianggap terlibat secara langsung dalam serangan ke atas Iraq selain mempunyai sikap tidak telus serta tidak adil dalam isu Palestin dan Gaza.
Dalam pada itu, Mohamad turut menyuarakan kebimbangan terhadap penderitaan rakyat Palestin yang kini berdepan masalah kebuluran, kesejukan serta kekurangan tempat tinggal, lebih-lebih lagi dalam keadaan musim sejuk dan hujan ketika ini.
Beliau berkata Israel di bawah kepimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, tidak membenarkan kerajaan Turkiye membawa masuk sebanyak 3,500 kontena untuk dijadikan penempatan sementara di Gaza, walaupun bantuan itu ditawarkan atas dasar kemanusiaan.
“Kontena ni masih baik lagi dan nak diberi kepada orang Palestin di Gaza untuk diguna pakai. Tapi Israel tidak mahu membenarkan. Kita amat kesal kerana kita bukan nak apa, demi kemanusiaan supaya orang yang dah tertindas begitu lama, kelaparan, kesejukan sekurang-kurangnya ada tempat berlindung,” katanya.
-- BERNAMA
