SHAH ALAM, 19 Jan (Bernama) -- Seorang Pegawai Imigresen Gred KP 22 hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 53 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM789,100 manakala isterinya didakwa menggunakan wang hasil aktiviti haram untuk membeli emas.
Mohamad Fazli Abdul Rahim, 46, berdepan 42 pertuduhan menerima suapan wang berjumlah RM510,500 menerusi pindahan dalam talian daripada seorang warga asing serta melalui syarikat dan akaun bank milik seorang wanita tempatan.
Ia sebagai upah untuk melepaskan kemasukan warga asing tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh jabatan itu.
Mohamad Fazli didakwa melakukan perbuatan itu di dua cawangan bank di Subang Jaya dan Telok Panglima Garang, Selangor antara 4 Feb 2023 hingga 26 Ogos 2024 mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, Mohamad Fazli boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Pegawai Pendakwa SPRM Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin namun peguam Mohamad Zahid Ahmad memohon jumlah ikat jamin yang rendah.
Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan selain tidak mengganggu saksi pendakwaan, dan menetapkan 10 Mac depan sebagai sebutan semula kes.
Mohamad Fazli juga mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM278,600 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada satu akaun bank sebuah syarikat kepada tiga individu di dua bank yang sama antara 2 Julai 2022 hingga 19 Ogos 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu atau RM3 juta mengikut mana lebih tinggi.
Mohd Nasir membenarkan Mohamad Fazli menggunakan ikat jamin RM24,000 dengan dua penjamin seperti yang diputuskan oleh Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Terdahulu, di hadapan Awang Kerisnada, Mohamad Fazli mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima rasuah RM10,400 sebagai dorongan untuk membenarkan kemasukan warga asing tanpa prosedur mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Isteri tertuduh, Suhana Ismail, 44, yang juga Pegawai Imigresen Gred KP 22, turut didakwa di hadapan Awang Kerisnada atas tujuh pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM125,850 untuk membeli emas.
Suhana minta dibicarakan atas semua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta 613 yang didakwa dilakukannya di sebuah bank di Telok Panglima Garang, Kuala Langat antara 12 Ogos 2023 hingga 27 Feb 2024.
Mahkamah membenarkan Suhana, yang turut diwakili peguam Mohamad Zahid, diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 10 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes pasangan suami isteri itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Alimi Mustapha.
-- BERNAMA
