POLITIK

AHMAD ZAHID PERJELAS KENYATAAN, SOKONG PENJELASAN DAP TIADA DUA KEM DALAM PARTI

18/01/2026 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan bahawa tidak wujud “Team A” atau “Team B” dalam DAP, sambil menegaskan kenyataannya sebelum ini tidak bertujuan menggambarkan perpecahan dalaman parti berkenaan.

Beliau berkata penjelasan itu merujuk respons Setiausaha Agung DAP Anthony Loke semasa Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2026 di Klang hari ini, yang menafikan kewujudan dua kem dalam parti itu, dan beliau bersetuju dengan penjelasan berkenaan.

Ahmad Zahid berkata isu-isu yang dibangkitkan sebelum ini bukan pendirian atau keputusan rasmi DAP, sebaliknya pandangan segelintir pihak dalam parti itu terhadap kenyataan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh.

“Maksud saya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 adalah untuk menjelaskan bahawa terdapat kenyataan bercanggah daripada segelintir kecil kepimpinan DAP terhadap perkara yang dibangkitkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-72 Parti Progresif Penduduk, di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid dalam ucapan penangguhan PAU 2025 dilaporkan mendakwa kenyataan bertentangan yang dikeluarkan daripada kepimpinan utama DAP datangnya daripada “Team B”.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata perkara berkenaan dimaklumkan sendiri kepadanya oleh Loke, namun ia tidak mencerminkan pendirian kepimpinan utama DAP, sebaliknya sekadar perbezaan pendapat kecil dalam parti.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan kenyataan berkenaan hanyalah bersifat makluman dan bukan pengesahan kewujudan mana-mana kem dalam DAP.

“Jika kenyataan itu menyinggung perasaan pihak DAP, saya menarik balik sebutan tersebut. Ia sama sekali tidak bertujuan menggambarkan bahawa terdapat dua kem dalam parti berkenaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar pandangan daripada kumpulan yang berbeza pendapat tidak dijadikan pendirian rasmi parti, khususnya apabila ia bukan keputusan muktamad atau dasar parti.

Terdahulu, Loke ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2026 menafikan dakwaan bahawa beliau memaklumkan kewujudan “Team B” dalam DAP yang didakwa mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan kepimpinan utama parti.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan