AM

PM ANWAR, AHLI PARLIMEN KERAJAAN HADIR TAKLIMAT PRAPERSIDANGAN DEWAN RAKYAT

18/01/2026 03:59 PM

PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar lbrahim hari ini menghadiri sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana di sini.

Jemaah Menteri, Ahli Parlimen serta ketua-ketua jabatan kerajaan dilihat mula tiba seawal 1.30 tengah hari ini. 

Antara Jemaah Menteri yang hadir ialah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan bermula esok dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat pembukaan mesyuarat itu.

Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan selama 20 hari itu turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul selama tujuh hari mulai 20 Jan.

Sidang Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada minggu ketiga bermula 4 hingga 10 Feb.

Persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain bermula 11 Feb hingga 3 Mac.

Beberapa RUU baharu dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini, antaranya bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh serta RUU berkaitan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara.

Perdana Menteri pada 5 Jan lepas mengumumkan perkara itu, yang disifatkan sebagai antara langkah reformasi institusi yang bakal dilaksanakan kerajaan pada sesi Parlimen tahun ini.

Anwar berkata RUU lain termasuk RUU Ombudsman 2025 dan RUU berkaitan Akta Kebebasan Maklumat.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan