AM

SEKRETARIAT RANGKAIAN KESELAMATAN AI ASEAN BAKAL BERPUSAT DI KUALA LUMPUR

17/01/2026 04:40 PM

PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Sekretariat Rangkaian Keselamatan Kecerdasan Buatan (AI) ASEAN akan berpusat di Kuala Lumpur, sekali gus memperlihatkan komitmen Malaysia dalam menyokong keutamaan digital ASEAN serta membina tadbir urus digital serantau yang diyakini. 

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Menteri-menteri Digital ASEAN telah menerima pakai Deklarasi Penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN seperti yang diluluskan oleh Ketua-ketua Kerajaan ASEAN pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur. 

“Ini pencapaian penting yang mencerminkan komitmen ASEAN untuk memajukan AI secara selamat, diyakini dan bertanggungjawab.

“Rangkaian Keselamatan AI ASEAN akan berfungsi sebagai platform serantau untuk memperkukuh kerjasama dalam pembinaan kapasiti, kesediaan peraturan, dan langkah-langkah perlindungan.

"Ia untuk memastikan inovasi dalam AI terus berkembang sementara risiko dan penyalahgunaan dapat ditangani secara berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) keenam dan mesyuarat berkaitan bertemakan “Adaptive ASEAN: From Connectivity to Connected Intelligence”, yang diadakan di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 16 Januari.

Mengenai ADGMIN, Gobind berkata mesyuarat itu menyambut baik Pelan Induk Digital ASEAN 2026-2030 (ADM 2030) yang diterima pakai sebagai tonggak utama integrasi digital serantau, berpandukan visi membina komuniti digital inklusif, diyakini dan inovatif.

“ADM 2030 akan menjadi panduan dalam mengemas kini strategi digital nasional dalam kalangan negara anggota ASEAN, memastikan koordinasi serantau lebih kukuh dan pelaksanaan yang memberikan impak,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat itu juga menyambut baik penerimaan garis panduan ASEAN untuk pembangunan pusat data yang mampan yang dipelopori oleh Malaysia.

“Garis panduan itu mencerminkan komitmen ASEAN untuk memastikan pertumbuhan infrastruktur digital selaras dengan matlamat kemampanan.

"Ia menyediakan pembuat dasar dengan alat dan pandangan yang penting untuk membina industri pusat data yang memacu pertumbuhan ekonomi sambil mengutamakan kelestarian alam sekitar.

“Ini akan menyokong pembangunan pusat data yang cekap, berdaya tahan, dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, selaras dengan usaha ASEAN memperkukuh asas ekonomi digital,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata beliau telah bertemu dengan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn di Hanoi dan kedua-dua pihak mengulangi komitmen kukuh Malaysia terhadap masa hadapan digital ASEAN.

“Kami juga menekankan kepentingan mempercepat Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi masa hadapan ASEAN,” katanya.

DEFA mempunyai potensi ekonomi yang kukuh untuk rantau ini, membolehkan perdagangan digital rentas sempadan lebih meluas, memperkukuh interoperabiliti, dan meningkatkan akses pasaran.

“Yang paling penting, DEFA boleh membantu membuka peluang pertumbuhan baharu untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan mengurangkan halangan penyertaan dalam ekonomi digital serantau, memperluas capaian pelanggan, dan mewujudkan persekitaran lebih lancar untuk perniagaan ASEAN berinovasi dan berkembang,” katanya.

Gobind berkata Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan ASEAN bagi membina masa hadapan digital yang selamat, mampan dan inklusif.

"Masa depan ini akan membuka peluang sebenar untuk semua golongan masyarakat serta meningkatkan keupayaan ASEAN bersaing dalam ekonomi digital pada peringkat global,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan