SUNGAI BULOH, 17 Jan (Bernama) -- Sebanyak RM1.2 juta peruntukan telah disalurkan kepada lebih 4,000 penduduk di Parlimen Sungai Buloh menerusi pelbagai inisiatif pendidikan sejak 2024 hingga kini.
Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan berkata penerima terdiri daripada murid dan pelajar daripada pelbagai latar belakang, khususnya golongan kurang berkemampuan, menerusi program Bantuan Kembali ke Sekolah, Bantuan Pengajian Tinggi serta Insentif Pelajar Cemerlang SPM.
Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata pendidikan menjadi keutamaan kerana ia kunci kepada masa hadapan yang lebih cerah.
“Dengan pendidikan, anak-anak boleh memperoleh pekerjaan dan pendapatan yang baik, seterusnya membantu keluarga mereka. Justeru, saya berharap bantuan ini dapat mengurangkan beban serta menyemarakkan semangat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Ramanan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kembali ke Sekolah Parlimen Sungai Buloh dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 1,000 kanak-kanak menerima sumbangan, dengan 750 daripada mereka menerima RM150 wang tunai bagi persediaan ke sekolah, manakala selebihnya mendapat kelengkapan persekolahan seperti beg, pakaian dan alat tulis.
Ketika ditemui pemberita, Ramanan turut menzahirkan komitmen untuk meneruskan dan memperluas inisiatif pendidikan di Parlimen Sungai Buloh.
“Pada tahun ini, lebih banyak program pendidikan akan dilaksanakan melalui Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dengan kerjasama pelbagai pihak dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
