CYBERJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini melancarkan Kenderaan Multi-Functional Vehicle (MFV) JAPEN Arena Penggerak Komuniti (JAGO), inisiatif terbaharu Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dalam memperkasakan penyampaian maklumat kerajaan secara lebih inklusif, strategik dan interaktif.
Kenderaan berkenaan dilengkapi paparan LED, sistem siar raya, peralatan kamera dan multimedia, pentas tambahan dan ruang perbincangan, yang membolehkan pelaksanaan program komunikasi secara lebih dinamik dan berkesan.
Fahmi berkata ketika ini terdapat empat unit kenderaan MFV dan bilangan itu akan ditambah pada masa akan datang.
“Unit JAGO ini bagi saya sangat penting untuk kami (Kementerian Komunikasi) mengusahakan program di khalayak umum. Kalau sebelum ini kita mempunyai satu unit siar raya legasi iaitu Info On Wheels, itu cara yang lama.
“Tapi saya lihat JAGO akan dapat membantu kita untuk menyampaikan maklumat dengan lebih interaktif, kreatif dan ia multi functional. Ini satu pelaburan yang sangat tepat, dan insya-Allah kita tahun ini menerima empat unit, akan ditambah lagi empat nanti,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas menyampaikan amanat kepada warga JAPEN di sini hari ini.
Secara keseluruhan, sebanyak 16 unit MFV akan diperoleh secara berperingkat sehingga tahun 2028 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), melibatkan peruntukan sebanyak RM8.8 juta bagi memperkukuh keupayaan penyampaian maklumat kerajaan ke peringkat akar umbi.
Terdahulu, Fahmi menyampaikan amanat kepada lebih 500 warga JAPEN dari seluruh negara mengenai harapan dan peranan jabatan tersebut dalam memperkukuh komunikasi kerajaan.
-- BERNAMA
